Tawaran Kit Siang, Pas kekal bersama PN

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - 'Lim Kit Siang ini siapa? Bukan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan ke?' demikian reaksi Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas apabila ditanya berkenaan kenyataan Kit Siang selepas beberapa individu dalam Kerajaan Perpaduan menghulurkan tangan kerjasama dengan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menawarkan kerjasama pada Pas sebelum ini dan pendirian parti itu masih kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

"Kami sasar untuk menang di kesemua enam negeri pada PRN ini," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau merasmikan Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2023 di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa di sini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, pemimpin veteran DAP itu membuat cadangan berani dengan meletakkan syarat utama iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mesti menghentikan permusuhan terhadap Anwar dan menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab dan dihormati.

Kit Siang membuat gesaan itu dalam menyokong titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik.