Lambaian Kane cetus tanda tanya

Kane melambai tangan kepada penyokong selepas tamat aksi Spurs menentang Brentford dalam saingan EPL. - Foto EPA.
Kane melambai tangan kepada penyokong selepas tamat aksi Spurs menentang Brentford dalam saingan EPL. - Foto EPA.
A
A
A

TINDAKAN Harry Kane melambai tangan kepada penyokong selepas Tottenham Hotspur tewas 1-3 kepada Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) mencetuskan tanda tanya mengenai nasibnya bersama kelab itu.

Selepas dia gagal merancang perpindahan ke Manchester City pada 2021, Kane yang mempunyai baki setahun dalam kontraknya dikaitkan dengan Bayern Munich, Paris Saint-Germain dan Manchester United.

Bagaimanapun jurulatih sementara Spurs, Ryan Mason pantas menafikan spekulasi tersebut sebaliknya beliau menjelaskan tindakan Kane itu sebagai penghargaan buat penyokong kerana ia merupakan perlawanan terakhir di laman sendiri.

“Dia melambai kepada orang ramai setiap musim. Saya masih ingat duduk di sini dua tahun lalu dan anda semua yakin dia akan pergi, berkata perkara yang sama.

“Ia adalah perlawanan terakhir di laman sendiri musim ini jadi dia mahu menunjukkan penghargaannya terhadap sokongan yang dia terima dan kami semua menerima musim ini,” ujar Mason.

Pada aksi itu, sepakan percuma Kane meletakkan Spurs di depan selepas lapan minit untuk gol ke-30 dalam semua pertandingan musim ini.

Bagaimanapun Brentford bertindak balas dengan dua gol Bryan Mbeumo dan gol lewat perlawanan dari Yoane Wissa menyebabkan penyokong Spurs kecewa.

Kekalahan itu melenyapkan impian Spurs untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.