X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Terima upah hantar rokok, arak seludup RM23.7 juta

Zainal Abidin (dua, kanan) menunjukkan antara rampasan menerusi Op Kontraban yang dijalankan sepasukan polis dari Batalion 4 PGA, di sekitar Lembah Klang pada Selasa.
A
A

SEMENYIH - Tiga warga tempatan yang disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok dan arak bernilai RM23.7 juta diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, pada Selasa selepas risikan selama dua bulan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, serbuan pertama Op Kontraban oleh sepasukan polis dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 6 pagi telah menahan dua suspek berusia 29 dan 35 tahun di Seksyen 33, Shah Alam.

Menurut beliau, pemeriksaan menemui 87,150 karton rokok dalam dua kontena dengan nilai termasuk cukai berjumlah RM20 juta.

"Turut dirampas dua buah kenderaan dan dua telefon bimbit," katanya dalam sidang akhbar di Batalion 4 PGA, Semenyih pada Rabu.

Beliau memberitahu, susulan itu seorang lagi suspek berusia 34 tahun ditahan pada jam 8.30 pagi di sebuah premis di Kapar, Klang dan merampas satu telefon bimbit.

Katanya, pihaknya kemudian merampas 1,295 kotak minuman keras bernilai RM3.4 juta termasuk cukai yang disembunyikan dalam sebuah kontena.

Tambah Zainal, siasatan mendapati suspek terbabit berperanan sebagai transporter untuk membawa kontena yang dibayar upah oleh dalang sindiket.

Antara rampasan yang dibuat sepasukan polis dari Batalion 4 PGA, di sekitar Lembah Klang pada Selasa.
Antara rampasan yang dibuat sepasukan polis dari Batalion 4 PGA, di sekitar Lembah Klang pada Selasa.

"Suspek yang bekerja secara sambilan itu dibayar upah mengikut trip bergantung kepada jarak penghantaran. Jika sekitar Kuala Lumpur bayaran akan diterima sebanyak RM100 dan akan meningkat sekiranya lokasi luar Lembah Klang," ujarnya.

Tambahnya, soal siasat suspek mendakwa hanya menerima arahan untuk membuat penghantaran tanpa mengetahui kandungan barang di dalam kontena terbabit malah mendakwa tidak mengenali individu yang mengupahnya.

Menurut Zainal, dengan tangkapan dan rampasan ini berjaya melumpuhkan dua sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

"Kita percaya salah satu sindiket ini adalah saki-baki Geng Jimmy. Polis juga tidak menolak kemungkinan ada pembabitan penjawat awam yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan ini. Bagaimana kontena itu boleh lolos di pelabuhan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!