Kedudukan kewangan negeri Kelantan kukuh

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Kedudukan kewangan kerajaan negeri Kelantan bagi tahun berakhir 31 Disember 2019 secara keseluruhannya adalah kukuh, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 yang dikeluarkan pada Selasa.

Laporan itu menyatakan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2019 telah meningkat sejumlah RM435.19 juta atau 602.8 peratus menjadi RM507.38 berbanding RM72.19 pada akhir 2018.

Bagi Akaun Hasil Disatukan menunjukkan lebihan semasa berjumlah RM445.69 juta, meningkat sejumlah RM438.25 atau 74.7 peratus menjadi RM1.025 bilion berbanding RM586.94 juta pada 2018.

"Peningkatan kutipan hasil disumbangkan oleh Pemberian Khas YAB Perdana Menteri Tahun 2019 sejumlah RM400 juta secara sekali bayar (one-off)," kata laporan berkenaan.

Laporan itu turut memaklumkan pada 2019, prestasi perbelanjaan dan pelaksanaan projek pembangunan kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) adalah baik iaitu sejumlah RM137.4 juta atau 44.6 peratus telah dibelanjakan berbanding RM307.86 juta peruntukan yang diluluskan.

"Daripada 1,703 jumlah projek yang dirancang, sebanyak 1,683 projek atau 98.8 peratus telah disiapkan sepenuhnya, lapan projek atau 0.5 peratus sedang dilaksanakan dan 12 projek atau 0.7 peratus masih belum dimulakan," menurut laporan berkenaan.

Baki Pinjaman Boleh Dituntut pula menurun RM632.54 juta atau 58.9 peratus daripada RM1.075 bilion pada 2018 kepada RM442.02 juta pada 2019.

"Tunggakan Bayaran Balik Pinjaman Boleh Dituntut menurun sebanyak RM163.09 juta atau 44 peratus daripada RM370.66 juta pada 2018 kepada RM207.57 juta pada 2019," katanya kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu, menyatakan jumlah hutang awam pula menurun RM620.15 juta atau 43.2 peratus menjadi RM815.14 juta berbanding RM1.435 bilion pada 2018.

"Tunggakan bayaran balik hutang awam oleh kerajaan negeri menurun RM160.06 juta atau 32.6 peratus menjadi RM330.76 juta berbanding RM490.82 juta pada 2018,” menurut laporan itu. - Bernama