Kes positif Covid-19 kembali meningkat kepada 20,837

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Selepas tiga hari berturut-turut merekodkan penurunan, angka baharu positif Covid-19 di negara ini kembali meningkat kepada 20,837 kes pada Selasa.

Selangor melaporkan peningkatan sebanyak 329 kes iaitu 4,645 kes berbanding 4,316 pada Isnin.

Kes harian di Sabah pula menunjukkan peningkatan ketara iaitu 3,376 kes berbanding hari sebelumnya sebanyak 2,474 kes.

Ia diikuti Pulau Pinang sebanyak 2,054 kes, Kedah (1,772), Johor (1,743), Sarawak (1,543), Kelantan (1,422), Kuala Lumpur (1,284) dan Perak (1,242).

Negeri yang melaporkan kes di bawah empat angka pula ialah Pahang (521),Negeri Sembilan (351), Terengganu (383), Perlis (74), Putrajaya (27) dan Labuan (empat).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu dilaporkan, sebanyak 358 kes adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

"Terdapat sebanyak 20,479 kes lagi adalah kategori satu dan dua," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 16,949 kes daripada jumlah yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini ialah sebanyak 1,593,602 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat sebanyak 262,713 kes aktif di seluruh negara.

"Kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) ialah 1,063 termasuk 511 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," jelasnya.

Beliau berkata, kes kematian berkaitan Covid-19 bertambah kepada 14,553 kes selepas 211 pesakit dilaporkan maut.

"Ia membabitkan 187 rakyat tempatan dan 24 warga asing," katanya.

Ujarnya, terdapat 40 kes kematian di luar fasiliti kesihatan yang terdiri daripada 26 rakyat tempatan dan 14 bukan warganegara.

Bagi kes sembuh pula, Dr Noor Hisham berkata, seramai 18,613 dilaporkan pulih, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya ialah sebanyak 1,316,336 kes.

Mengulas mengenai kluster, beliau berkata, sebanyak 34 kluster baharu dikenal pasti termasuk 22 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja.

"Sembilan kluster komuniti, dua kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pusat tahanan turut dikenal pasti," katanya.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan kluster ialah 4,506.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 3,060 kluster telah diisytiharkan tamat, manakala baki 1,446 kluster masih aktif.