Pengawal keselamatan tidak mengaku salah buat komunikasi jelik

Tertuduh hadir ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa.
Tertuduh hadir ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi jelik dalam kejadian empat bulan lalu.

Shahrir Mohamad, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan didakwa dilakukan menerusi aplikasi Twitter menggunakan laman profil ‘Sharil bin Mohd Sarif’ pada jam 7.43 pagi, 20 April lalu.

Ia telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 1.30 petang hari sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM 50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad mencadangkan supaya tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang hadir dengan memakai kemeja belang tanpa diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat rayuan kerana tiada waris hadir untuk menjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.