Nasi kerabu, teh ais 'hadiah' teka-teki Hari Kebangsaan

Pengusaha Kedai Makan Kak Anne, Noraini Mohamed, 41, (kanan) bersama suami Azmi Ismail, 47, menyiapkan tempahan pelanggan di kedainya. - Foto Bernama
Pengusaha Kedai Makan Kak Anne, Noraini Mohamed, 41, (kanan) bersama suami Azmi Ismail, 47, menyiapkan tempahan pelanggan di kedainya. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Belenggu pandemik Covid-19 mungkin merencatkan sedikit kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, namun seorang pengusaha kedai makan di Pasar Lama Pasir Tumboh di sini, mempunyai cara tersendiri bagi membangkitkan semangat iaitu dengan menawarkan nasi kerabu dan minuman teh ais secara percuma kepada pelanggan yang dapat menjawab teka-teki berkisar kemerdekaan negara.

Pengusaha Kedai Makan Kak Anne, Noraini Mohamed, 41, berkata, tujuannya semata-mata mahu membangkitkan semangat patriotik selain mengembalikan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sekurang-kurangnya dalam kalangan pelanggan dan masyarakat sekitar tempat itu.

"Setiap hari sehingga 31 Ogos nanti, saya akan pilih tiga orang pelanggan secara rambang untuk ditanya soalan pengetahuan am dan sejarah berkisar Hari Kebangsaan. Pelanggan yang berjaya jawab soalan akan diberi makan nasi kerabu dan minuman teh ais secara percuma di kedai ini.

“Usaha ini mungkin kecil, namun saya harap sedikit sebanyak dapat mengingatkan masyarakat tentang pentingnya sambutan ini kepada negara," katanya ketika ditemui pemberita di kedainya pada Isnin.

Bukan itu sahaja, Noraini turut bersemangat menghias kedainya dengan Jalur Gemilang lebih-lebih lagi apabila dibantu badan bukan kerajaan (NGO) Team Sahabat Mann 23 Jam.

Ahli Jawatankuasa Team Sahabat Man 23 Jam, Mohd Azman Mohd Ghani (dua, kanan) menghadiahi Jalur Gemilang kepada pelanggan yang menjawab teka-teki dengan betul serta memberi makanan percuma bagi menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada Isnin. - Foto Bernama
Ahli Jawatankuasa Team Sahabat Man 23 Jam, Mohd Azman Mohd Ghani (dua, kanan) menghadiahi Jalur Gemilang kepada pelanggan yang menjawab teka-teki dengan betul serta memberi makanan percuma bagi menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada Isnin. - Foto Bernama

Katannya, demi menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Kebangsaan beliau sanggup memperuntukkan sebanyak RM1,500 bagi membeli bendera dan kain rentang untuk hiasan kedainya.

"Semangat tambah membara apabila ada rakan-rakan dari pasukan 'Team Sahabat Mann 23 Jam' datang membantu kami. Ini juga sebahagian cara mempromosikan perniagaan kami setelah lama ditutup kerana pandemik Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noraini, yang mengusahakan kedai makan tersebut bersama suaminya, Azmi Ismail, 47, sejak 2018 berkata, kedainya baru seminggu beroperasi semula dengan menawarkan sajian sarapan pagi dan makan tengah hari terutama masakan Kelantan seperti nasi kerabu.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Team Sahabat Mann 23 Jam, Mohd Azman Mohd Ghani berkata, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan menghias kedai tersebut sebagai cara menarik pelanggan datang selepas sekian lama sepi akibat pandemik Covid-19.

"Kami tahu ramai peniaga yang terkesan dengan pandemik ini, sekurang-kurangnya dengan menghias Jalur Gemilang yang berwarna-warni dapat memeriahkan suasana kedai dan menarik pelanggan makan di sini.

"Namun, kami mengehadkan hanya 10 daripada 150 ahli hadir memberi sokongan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Mohd Azman berkata, selain membantu peniaga, Team Sahabat Mann 23 Jam juga aktif melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk mengagihkan bantuan makanan kepada orang ramai yang terkesan akibat pandemik menerusi dana dikumpul daripada kalangan ahlinya. - Bernama