Perpaduan Melayu, bumiputera 'tiang seri' kepada kemajuan negara

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MALAYSIA mampu muncul sebagai Harimau Asia dan menjadi contoh kepada negara lain di dunia dengan syarat perpecahan dalam kalangan masyarakat terutama Melayu serta bumiputera perlu ditangani terlebih dahulu.

Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil kerana ekonomi negara pernah berada pada tahap membanggakan pada sekitar awal 1980-an hingga pertengahan 1990-an.

Diharap sambutan Hari Kebangsaan 2021 dengan tema Malaysia Prihatin mampu menaikkan semangat warga Malaysia untuk berusaha sedaya upaya mengembalikan kecemerlangan negara seperti mana yang pernah dilalui sebelum ini.

Malaysia sebuah negara yang sangat luar biasa dan unik kerana kepelbagaian komposisi populasinya yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan pelbagai bangsa lain.

Komposisi ini unik berbanding negara lain kerana kita sangat berbeza dalam pelbagai aspek terutama budaya, agama dan adat resam, namun tetap mampu untuk menonjolkan keunikan kepada dunia apabila berjaya mengekalkan keharmonian yang dikecapi selama 64 tahun merdeka.

Teori peradaban manusia pernah memperlihatkan sesebuah ketamadunan hancur bukan disebabkan orang luar, tetapi dek kerana pergolakan dalaman bangsa itu sendiri.

Jadi, sekiranya Malaysia mahu muncul sebagai negara contoh, perpaduan ialah kuncinya dan ia perlu diperkukuhkan lagi.

Perpaduan antara kaum sangat diperlukan, namun perpaduan dalam kalangan Melayu dan bumiputera sangat signifikan kerana menjadi 'tiang seri' atau 'pasak' kepada kecemerlangan, kemakmuran dan kestabilan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Umat Melayu dan Bumiputera perlu merapatkan saf mencari titik persamaan agar perpaduan yang telah wujud sejak merdeka semakin hari semakin utuh agar musuh tidak boleh masuk dengan begitu mudah.

Kita tidak mahu negara ini dijajah lagi, justeru kita perlu bersatu lebih-lebih lagi mereka yang sebangsa dan seagama, tidak wajar untuk berbalah sesama sendiri kerana ia hanya mendatangkan kerugian.

Musuh di luar sentiasa menunggu pergolakan berlaku, supaya mereka mudah masuk untuk menjajah dengan gaya alaf baharu dalam aspek sosial, minda serta emosi.

Amat mendukacitakan ketika Bulan Kebangsaan, awal Muharam yang dimuliakan serta negara dalam keadaan Covid-19 semakin menular ini menyaksikan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Kita tidak boleh menafikan wujudnya perbezaan, namun mengapakah perlu memfokuskan kepada perkara itu kerana ia tidak akan mendatangkan manfaat, malah akan sentiasa membawa kepada perpecahan.

Umum menyedari, tiada persamaan yang boleh diterima oleh semua individu dalam sesebuah masyarakat, tetapi untuk memastikan kesejahteraan, keharmonian dan keselamatan, maka titik persamaan perlu dicari dengan sebaik mungkin.

Kestabilan politik akan disusuli oleh kestabilan ekonomi, seterusnya kejayaan itu nanti bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan imej Malaysia selaku negara berpendapatan tinggi.

Perpaduan yang diinginkan ialah demi negara tercinta dan bukan hanya untuk kepentingan sesuatu kaum sahaja kerana sekiranya masyarakat majoriti di negara tidak bersatu, lebih mudahlah agenda musuh tercapai.

Sebelum nasi menjadi bubur dan sekiranya kita tidak mahu Malaysia dijajah semula dalam bentuk penjajahan baharu, marilah bersatu padu agar kita dapat menggerakkan negara ini ke satu tahap yang lebih membanggakan, pada masa sama dapat menangani pandemik Covid-19.

*Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Pakar Sosial dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).