Empat ditahan palsukan maklumat MySejahtera

Empat individu termasuk tiga warga asing ditahan dalam serbuan berasingan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan identiti individu lain bagi mendapatkan dos vaksin Covid-19.
Empat individu termasuk tiga warga asing ditahan dalam serbuan berasingan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan identiti individu lain bagi mendapatkan dos vaksin Covid-19.
A
A
A

MELAKA - Empat individu termasuk tiga warga asing berusia 35 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan berasingan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan identiti individu lain bagi mendapatkan dos vaksin Covid-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang wanita warga asing yang datang ke sebuah klinik di Banda Hilir di sini pada Rabu lalu kira-kira jam 2.30 petang untuk mendapatkan dos kedua vaksin.

Bagaimanapun menurutnya, semakan polis di lokasi itu mendapati aplikasi MySejahtera yang digunakan suspek memaparkan maklumat individu lain.

Katanya, polis kemudian merampas satu kad vaksinasi atas nama suspek dan satu kad bertulis 'Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass' dipercayai palsu selain salinan kad pasport yang telah tamat tempoh dan sebuah telefon bimbit.

"Susulan tangkapan pertama, polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan di sebuah rumah pada hari sama.

"Kesemua tangkapan telah direman sehingga 27 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, kesemua warga asing itu turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas Imigresen yang sah serta Seksyen 15(1) (c) akta yang sama.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung maklumat pengenalan diri digunakan oleh individu warganegara asing bagi tujuan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis memandang serius sebarang aktiviti penyalahgunaan identiti individu lain bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin.