'Patah sayap' dicengkam Covid-19, juruterbang ingin terbang semula

Safia Anisa (kiri) ketika bertugas sekitar tahun 2019 sebelum penularan Covid-19 yang menyebabkan aktiviti industri penerbangan bergerak perlahan. - Foto Bernama
Safia Anisa (kiri) ketika bertugas sekitar tahun 2019 sebelum penularan Covid-19 yang menyebabkan aktiviti industri penerbangan bergerak perlahan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meredah langit biru sambil mengendalikan pesawat pastinya menjadi rutin yang paling dirindui oleh kebanyakan juruterbang ketika ini, setelah hampir dua tahun 'patah sayap' dan menyaksikan sektor penerbangan berehat seketika susulan pandemik Covid-19.

Bagi juruterbang Air Asia, Safia Anisa Abu Bakar, 24, ‘kebebasan’ meneroka ruang udara sebelum ini dengan lebih 80 jam penerbangan sebulan ke pelbagai destinasi, bagaikan diragut akibat ‘penjajahan’ yang dilakukan oleh virus pembunuh itu yang telah mengorbankan lebih berjuta nyawa di seluruh dunia.

Untuk itu, bersempena Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini, Safia mengharapkan ada sinar di hujung terowong dan negara akan segera bebas daripada cengkaman jajahan virus Covid-19.

“Jika dahulu kita dijajah secara fizikal dan kita nampak musuh yang menyerang, tetapi musuh yang hadapi kali ini, kita tidak nampak. ‘Penjajah’ ini lebih kejam... membunuh tanpa belas ihsan terhadap sesiapa sahaja yang alpa, menyebabkan rakyat menderita dan terpaksa berkurung bagi mengelak dijangkiti.

“Sudah tentu sebagai juruterbang, saya merindui saat negara kita bebas daripada ‘penjajahan alaf baru’ ini. Saya rindukan saat bangun dan bersiap seawal pagi untuk bersedia dengan penerbangan seterusnya kerana setiap satu pengalaman yang dialami berbeza.

Safia Anisa merupakan antara pekerja sektor penerbangan yang terjejas teruk akibat Covid-19 yang menular sejak tahun lalu dan merindui suasana bekerja dalam sektor tersebut. - Foto Bernama
Safia Anisa merupakan antara pekerja sektor penerbangan yang terjejas teruk akibat Covid-19 yang menular sejak tahun lalu dan merindui suasana bekerja dalam sektor tersebut. - Foto Bernama

"Sejujurnya, saya tidak sabar untuk menantikan hari tersebut tiba (memandu kapal terbang semula). Sangat menyedihkan melihat wabak ini meragut banyak nyawa serta memberi kesan kepada rakyat yang perlu bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengimbau semula detik ketika terpaksa menggantung pakaian seragam buat sementara waktu, beliau yang menyertai syarikat penerbangan itu pada 2017, pernah berasa tertekan dan kemurungan sebelum kembali bangkit dan menyara keluarga dengan bekerja sebagai barista.

"Bekerja sebagai barista selama 10 bulan telah berjaya membuat saya 'lari' daripada perasaan dan fikiran negatif selain memberi peluang meluangkan masa berharga bersama keluarga," katanya yang kini bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat.

Gadis berasal dari Shah Alam itu juga kekal berfikiran positif dan yakin sektor penerbangan akan kembali bersinar semula dengan usaha tanpa jemu yang ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan negara.

Turut berkongsi perasaan serupa juruterbang AirAsia X, Malcolm Brian Patrick, 28, yang tidak sabar untuk kembali beraksi di udara bersama rakan sekerja yang lain.

"Kita semua mahu kembali kepada rutin seperti sedia kala, seperti sebelum pandemik melanda, semuanya bebas ketika itu.

"Suasana bulan kemerdekaan sebelum Covid-19 melanda juga meriah dengan penerbangan tambahan bagi menampung permintaan pada musim cuti, tetapi situasi seperti itu sudah dua tahun berturut-turut tidak berlaku," katanya.

Malcolm bergambar bersama sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2). - Foto Bernama
Malcolm bergambar bersama sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2). - Foto Bernama

Prihatin dengan situasi semasa, Malcolm kini aktif membantu rakan sekerja yang terkesan dari segi emosi serta psikologi akibat wabak itu dengan memberi khidmat nasihat serta sokongan mental melalui program Allstar Peer Supporter.

Jelasnya sejak program yang diasaskan pada 2014 digerakkan semula Jun tahun lalu, beliau bersama sembilan lagi rakan setugas yang bertindak sebagai pelatih, membantu memberi sokongan emosi lebih 500 rakan sekerja yang terjejas sumber pendapatan dan hilang pekerjaan.

Katanya pekerja dari sektor itu tidak kira sama ada juruterbang, kru penerbangan bahkan pihak pengurusan menjadi satu keluarga besar yang sentiasa bersama memerangi pandemik itu walaupun ada dalam kalangan mereka telah beralih arah ke bidang lain untuk mencari rezeki buat sementara waktu.

"Kita belum menang dalam 'peperangan' ini, tetapi kita perlu kuat dan bersatu selain prihatin sesama kita. Hanya dengan cara itu serta patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dapat mengelak penularan jangkitan, sekali gus menjadi 'senjata' penting untuk kita terus bertahan," katanya.