Selangor masih jadi pilihan pelabur

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur berikutan negeri ini masih menjadi pilihan pelabur tempatan dan luar negara walaupun negara kini berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Sultan Sharafuddin bertitah, Selangor menjadi pilihan berikutan kemudahan prasarana yang lengkap dan moden serta dasar-dasar kerajaan negeri yang memudah cara persekitaran perniagaan.

Titah baginda, kelebihan daya saing ini telah menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian bagi tahun 2020 merekodkan pencapaian yang cemerlang di mana Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Sebanyak 324 projek perkilangan telah diluluskan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion.

“Dari jumlah ini, sebanyak RM6.95 Bilion atau 37.7 peratus adalah daripada pelaburan tempatan dan RM 1.48 bilion atau 62.3 peratus daripada pelaburan asing,” titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Negeri Selangor yang Ke-14 Tahun 2021 pada Isnin.

Selain itu, Sultan Selangor bertitah, walaupun negeri ini masih lagi menjadi tumpuan pelabur namun pelaksanaan kawalan pergerakan tidak dinafikan telah menyebabkan penutupan premis perniagaan dan mengakibatkan rakyat kehilangan sumber pekerjaan.

Titah baginda, keadaan ini telah menyebabkan peningkatan kadar pengangguran negara di mana pada tahun 2020 berlaku kenaikan sebanyak 4.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada tahun 2019.

“Selepas sedikit pertumbuhan pada awal tahun ini, baru-baru ini kadar pengangguran telah meningkat semula kepada 4.8 peratus selepas 40,600 pekerja dilaporkan hilang pekerjaan pada Jun 2021,” titah baginda.

Artikel Berkaitan: