RM250,000 untuk pengusaha melon manis

Dr Azman (kiri) menyampaikan insentif secara pandu lalu kepada Muhammad Syazwan Aiman Zakari, 26, yang merupakan salah seorang pengusaha tanaman fetigasi Melon Manis Terengganu (MMT) di Kuala Terengganu pada Ahad.
Dr Azman (kiri) menyampaikan insentif secara pandu lalu kepada Muhammad Syazwan Aiman Zakari, 26, yang merupakan salah seorang pengusaha tanaman fetigasi Melon Manis Terengganu (MMT) di Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 47 pengusaha tanaman fertigasi melon manis di negeri ini menerima insentif sebanyak RM250,000 sebagai galakan bagi meningkatkan mutu dan produktiviti buah berkenaan.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memberi insentif itu kerana sektor pertanian merupakan salah satu cabang untuk menjana sumber ekonomi Terengganu.

Beliau berkata, antara bantuan diberikan ialah benih, baja, racun, sistem pengairan, EC meter, PH meter, basilus serta input-input lain.

"Bantuan ini sebagai dorongan kepada mereka untuk terus produktif dalam usaha meningkatkan pengeluaran buah yang menjadi identiti bagi Terengganu," katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan berkenaan kepada penerima secara pandu lalu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong di sini pada Ahad.

Sementara itu, Dr Azman berkata, pengeluaran hasil bagi tanaman melon manis di negeri ini tidak terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula fasa pertama pada Mac tahun lalu.

"Pemberian termasuk di kawasan-kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memandangkan sektor ini termasuk dalam sektor perlu yang dibenarkan beroperasi.

"Jadi, tidak berlaku isu lambakan atau buah tidak laku, malah hasil pengeluaran bagi tahun ini juga sama seperti tahun lalu iaitu mencecah 500 tan setahun," jelas beliau.

Buah yang dijenamakan sebagai Melon Manis Terengganu (MMT) memiliki keunikan rasa tersendiri kerana ia lebih manis dan rangup berbanding 3,000 jenis melon lain di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Lebih istimewa kepelbagaian buah eksklusif itu hanya terdapat di Terengganu dengan purata jualan RM10 bagi setiap sekilogram.