Pelajar lepasan SPM ditipu tawaran kerja sambilan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengalami kerugian RM5,350 akibat ditipu sindiket tawaran kerja sambilan di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohammed berkata, pada 13 Ogos lalu, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian tersebut membabitkan remaja perempuan 18 tahun, yang masih belum bekerja.

Katanya, mangsa telah melihat iklan pekerjaan di laman Facebook dan kemudiannya berurusan dengan agensi itu melalui aplikasi WhatsApp untuk kerja sambilan membungkus batu jed.

"Mangsa kemudiannya diminta membuat pembayaran pendaftaran sebanyak RM350, sebelum sindiket itu membekalkan tujuh beg berisi batu jed.

"Setiap beg mengandungi 5,000 biji batu jed, dan mereka hanya perlu membungkus kesemua batu jed itu dalam masa 45 hari dan dijanjikan bayaran sebanyak RM5,000.

"Selepas pembayaran dilakukan, mangsa gagal menerima barang untuk dibungkus, malah masih diminta untuk memasukkan lagi wang untuk tujuan pembayaran yuran kepada ejen, sebelum barang tersebut diposkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Tambahnya, mangsa telah membuat bayaran untuk tujuan tersebut sebanyak lima kali transaksi bermula 14 Julai hingga 13 Ogos ke dalam dua akaun tempatan berbeza dengan jumlah keseluruhan RM5,350 menggunakan wang ibunya.

Katanya, selepas kesemua pembayaran dilakukan, mangsa bagaimanapun masih gagal mendapat barang kerja yang dijanjikan, namun diminta untuk memasukkan lagi wang.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis apabila merasakan diri ditipu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pihak polis menegaskan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan bergaji tinggi daripada laman sosial.

Orang ramai boleh membuat semakan nombor akaun di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi selain menyemak latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan.