Enggan ke PPS, mangsa banjir bimbang jangkitan Covid-19

Keadaan rumah penduduk di Kampung Tebuk Jawa di sini yang dinaiki air selepas ban RTB Sungai Samagagah pecah di Alor Pongsu.
Keadaan rumah penduduk di Kampung Tebuk Jawa di sini yang dinaiki air selepas ban RTB Sungai Samagagah pecah di Alor Pongsu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19 menjadikan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dan SK Changkat Lobak di sini, kurang mendapat sambutan daripada mangsa banjir.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk Mukim Beriah itu memilih untuk tinggal di rumah masing-masing berbanding dipindahkan ke PPS berhampiran meskipun banjir masih belum surut sepenuhnya.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menasihatkan mangsa banjir agar tidak bimbang berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) di setiap PPS.

"Kita nasihatkan mereka untuk berpindah kerana keputusan ini adalah demi keselamatan mereka kerana bimbang air akan naik.

"Sekiranya ada mangsa yang kontak rapat serta mempunyai gejala dan sebagainya, mereka akan dinilaikan oleh KKM dan seterusnya diasingkan daripada mangsa lain," katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Alor Pongsu di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai turut menekankan SOP yang perlu diamalkan seperti pemakaian dua pelitup muka, pencuci tangan dan penjarakkan fizikal.

Mengulas mengenai kejadian ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah pecah pada Jumaat, Noor Azmi meminta ban tersebut dapat dinaik taraf segera agar kejadian sama tidak berulang.

"Satu dana yang besar diperlukan bagi menaiktaraf ban RTB sedia ada dengan lebih lebar tinggi dan kukuh bagi memastikan perkara sama tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini kita akan bawa ke sidang Dewan Rakyat yang akan datang untuk dibincangkan," katanya.