Perak mohon bantuan khas baiki ban RTB pecah

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada pegawai JPS Daerah Kerian berkaitan kejadian ban pecah di Alor Pongsu.
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada pegawai JPS Daerah Kerian berkaitan kejadian ban pecah di Alor Pongsu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan Perak memohon peruntukan khas sejumlah RM800,000 untuk membaik pulih ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah yang menjadi punca banjir di sekitar Kampung Matang Pasir dan Kampung Parit Haji Kasim, Alor Pongsu di sini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, permohonan itu telah diajukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membina segera dua lokasi ban yang dikesan pecah pada Jumaat.

"Tinjauan mendapati terdapat dua lokasi di ban sepanjang dua kilometer itu telah pecah. Kerosakan itu melibatkan sepanjang 10 meter dan 30 meter.

Kerja-kerja menanam cerucuk dijalankan di lokasi ban pecah di RTB Sungai Samagagah.
Kerja-kerja menanam cerucuk dijalankan di lokasi ban pecah di RTB Sungai Samagagah.

"Ban sedia ada ini perlu diambil tindakan segera untuk dibaiki secepat mungkin. Kerajaan negeri akan bersama JPS untuk mengambil tindakan segera bagi mengelak banjir berterusan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Menurutnya, langkah awal telah diambil dengan menjalankan kerja-kerja menanam cerucuk di ban berkenaan dan dijangka siap dalam tempoh dua hari.

"Keadaan itu mengakibatkan banjir melibatkan 400 rumah penduduk, sekolah dan ladang kelapa sawit berhampiran.

Laluan Alor Pongsu- Selama ditutup kepada semua kenderaan selepas jalan berkenaan dinaiki air setinggi 0.5 meter.
Laluan Alor Pongsu- Selama ditutup kepada semua kenderaan selepas jalan berkenaan dinaiki air setinggi 0.5 meter.

"Pada peringkat awal kita bina cerucuk untuk sekat air daripada mengalir ke kawasan terlibat dan kerja-kerja berkenaan telah bermula pada Sabtu," katanya.

Mohd Zolkafly berkata, keadaan banjir itu menyebabkan Jalan Alor Pongsu-Selama di laluan FT147 ditutup selepas dinaiki air setinggi 0.5 meter.

"Laluan berkenaan ditutup kepada semua jenis kenderaan demi keselamatan pengguna jalan raya terbabit selepas paras air mencecah 0.5 meter.

"Jika paras air berkurangan kepada 0.3 meter, laluan berkenaan akan dibuka kepada orang ramai," katanya.