Merungkai kekalutan politik dalam fasa pemulihan negara

Gambar kecil: Dr Suhaimee Saahar @ Saabar
Gambar kecil: Dr Suhaimee Saahar @ Saabar
A
A
A

SECARA sejarahnya, demokrasi membawa pelbagai konotasi dan permasalahan yang perlu difikirkan oleh pemikiran setiap manusia terutama pelaku politik untuk memberikan kewarasan dalam mengamalkan dan mempraktikkan amalan demokrasi yang telah diamalkan berkurun lama.

Setiap negara yang memilih demokrasi akan melalui fasa-fasa pembinaan negara yang menjadikan keselamatan negara sebagai tonggak utama kedaulatan negara.

Peperangan, kemelesetan ekonomi, perubahan teknologi, kejatuhan regim, penularan wabak penyakit, kebuluran, perubahan ideologi dan sebagainya adalah elemen-elemen penting dalam memastikan keselamatan negara dilindungi dan dipertahankan.

Kita kini berdepan dengan cabaran semasa dalam konteks kekalutan politik yang memerlukan formulasi politik dalam mewujudkan keseimbangan dan kestabilan.

Dalam konteks politik hari ini, parti politik di negara kita sedang berformulasi dalam mencipta formula-formula politik untuk tujuan pengekalan kuasa, pengalihan kuasa dan pengambilan kuasa.

Sudah tentu formulasi politik akan menggunakan angka untuk mewajarkan tindakan mereka dalam mendapatkan kuasa yang diinginkan.

Setiap formula ini pasti akan mencipta satu keadaan 'chaotic' yang mana formula-formula ini diuji dalam makmal politik yang menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji dalam mengukur tahap penerimaan, sokongan dan simpati.

Sekiranya formula politik yang menjadikan bahan-bahan uji kaji ini berjaya maka hasil positif bakal berlaku. Sebaliknya sekiranya uji kaji ini gagal maka ia boleh mencetuskan keadaan 'chaos' yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Tun Abdullah Badawi pernah berpesan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, politik bukannya bahan eksperimen yang boleh diuji sewenangnya-wenangnya.

Sekira tersilap perkiraan satu keadaan yang 'volatile' akan wujud dalam satu vakum politik yang tidak menentu. Kesannya adalah setiap dasar yang telah dibina untuk tujuan kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan mengalami kesan sama ada besar atau kecil.

Di sudut ekonomi pula, kesannya amat besar apabila kejatuhan pasaran saham akan memberikan kesan kepada keyakinan pelabur.

Jelas sekali, 'chaotic' ini amat besar implikasinya terutama kepada pemerintah yang perlu memfokuskan kepada aspek pemulihan demokrasi dan keselamatan rakyatnya dari segi nyawa dan kewangan.

Ada juga yang memilih pendekatan ini sebagai permainan politik yang digemari oleh mereka. Melihat kucar kacir yang berlaku di depan mata adalah satu kepuasan politik bagi mereka ini.

Keputusan Tan Sri Mahyudin untuk meletak jawatan ekoran keputusan UMNO menarik sokongan mewujudkan satu lagi bentuk kekalutan politik baru.

Ini membuka satu lagi dimensi untuk parti politik mengemukakan formula politik yang mereka merasakan yang terbaik sama ada dalam bentuk jumlah sokongan atau sekadar persepsi yang dimainkan sama ada dalam bentuk realiti ataupun dalam bentuk maya.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong yang meminta ahli politik untuk mengemukakan calon Perdana Menteri dalam kalangan ahli Parlimen dan juga jumlah sokongan yang mereka miliki merupakan salah satu kaedah dalam meredakan kekalutan politik yang berlaku hari ini.

Ketika ini, parti politik sedang membina formula baru kerana mereka sendiri menyedari bahawa jumlah yang mereka miliki kini tidaklah besar jumlahnya hanya cukup sekadar untuk merasionalisasikan tindakan mereka.

Walhal permainan nombor 220 ini memerangkap mereka dalam membentuk kaedah sama ada dalam bentuk penjajaran, perkongsian, permuafakatan mahupun mewujudkan konsep kerajaan perpaduan merentasi parti.

Persoalannya adakah mereka mengakui bahawa tawaran CSA yang dikemukakan sebelum ini merupakan kaedah yang realistik dalam menguruskan kekalutan politik serta memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Adakah seruan Yang di-Pertuan Agong untuk meminta ahli politik menolak politik usang atau politik lama dan membina politik baharu akan menjadi formula terbaik untuk parti politik duduk semeja dan membincangkan formula politik yang terbaik dengan mengenepikan retorik politik lama dan dendam politik yang tersemat sekelian lama?

Adakah ini boleh dijamin oleh mereka? Jawapan ini akan terjawab dengan tindakan-tindakan mereka selepas ini.

Sekiranya seruan Yang di-Pertuan Agong diambil serius oleh parti politik maka mereka perlu memastikan mesej politik baru itu diterjemahkan dalam bentuk perpaduan dan kestabilan serta kematangan politik pintar dan luar biasa.

Perlu ada satu bentuk perpaduan bukan sahaja di peringkat atasan tetapi dalam kalangan ahli dan penyokong bagi mewujudkan perpaduan politik merentas parti dalam semangat cintakan negara dan mendukung perlembagaan negara serta kesetiaan dan ketahanan kepada raja dan negara.

Sekiranya ini menjadi formula yang akan direalisasikan oleh mereka maka jelas mereka memahami apa yang rakyat inginkan kerana suara rakyat amat penting dalam isu ini.

Dalam pelan pemulihan ini sebarang usaha untuk menggagalkan pelan ini boleh dilihat sebagai virus kedua yang akan memberikan kesan yang buruk lagi membebankan.

Ditambah dengan formulasi politik yang tiada kesudahan, rakyat akan bertambah keliru dan rimas dengan formula-formula politik usang yang sedang berlaku di depan mata mereka. Bahan uji kaji dalam bentuk risalah politik, propaganda media sosial, berita palsu dan sebagainya akan mengganggu garis masa fasa pemulihan yang sedia diusahakan.

Ketepikan seketika mesej-mesej kegagalan atau ketidakupayaan, mainkan mesej yang lebih positif jika inginkan formula politik itu berjaya. Sejarah manusia membuktikan kegagalan menguruskan persepsi songsang ini boleh meruntuhkan sebuah ketamadunan.

Ketidakupayaan pemain politik yang dahaga dan tamak untuk meletakkan kuasa di takhta mereka sentiasa tidak akan kekal. Seterusnya akan lahirnya generasi yang akan menyambung kegagalan mereka ini dalam bentuk pemikiran dan pandangan baharu dalam konteks garis masa akan datang.

* Dr Suhaimee Saahar @ Saabar merupakan Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam