Hari ATM: Menghayati amanah pertahanan negara

SETIAP kali tibanya sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mata rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat sering terpesona melihat Perbarisan Tempur di lapangan.
Bunyi deruman jet pejuang di udara, perarakan kapal perang di lautan serta aksi ketangkasan pasukan khas sentiasa berjaya mencuri tumpuan ramai.
Namun, di sebalik kehebatan pameran aset dan sorakan kagum penonton, wujud satu persoalan yang perlu kita renungkan bersama-sama.
Adakah keupayaan benteng pertahanan negara hanya diukur melalui gegar gempita pertunjukan fizikal tahunan ini atau ada nilai yang jauh lebih mendalam di sebaliknya?
Kekuatan sebenar pertahanan bukanlah terletak pada ketebalan perisai atau kecanggihan senjata semata-mata tetapi pada keteguhan jiwa serta rasa amanah warga yang mengendalikannya.
Sambutan musiman ini berisiko menjadi sekadar acara perayaan luaran jika rakyat dan warga tentera sendiri lupa akan ikatan jati diri yang mendasarinya.
Bagaikan sebuah rumah indah berpagar besi tinggi, kehebatan binaannya tidak memberi sebarang makna sekiranya tiang utamanya dimakan anai-anai dari dalam.
Oleh itu, Hari ATM perlu difahami bukan sekadar acara perbarisan tahunan tetapi sebagai saat untuk menghayati semula makna kebersamaan dan integriti dalam menjaga kedaulatan tanah air.
Komitmen integriti ATM
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, langkah tegas sedang diambil untuk memastikan nilai kejujuran berada di aras tertinggi.
Usaha ini menyaksikan seramai 100,904 pegawai dan anggota ATM, iaitu menyamai 97.53 peratus daripada keseluruhan warga pasukan, telah selesai membuat pengisytiharan harta demi memelihara tatakelola organisasi yang telus.
Langkah berani tersebut dilaksanakan susulan wujudnya cabaran salah laku dan rasuah yang pernah mencalarkan nama baik serta imej pasukan pertahanan negara.
Selain pengisytiharan harta, seramai 105,536 warga aktif ATM juga telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah bagi menutup rapat sebarang ruang ketirisan demi masa depan perkhidmatan.
Tindakan ini membuktikan bahawa benteng keselamatan dan pertahanan yang paling kukuh bukan sekadar berteraskan kelengkapan fizikal tetapi berasaskan pada keikhlasan dan kejujuran setiap warganya.
Langkah memantau rapi bahagian sensitif seperti perolehan peralatan membolehkan risiko kebocoran dana rakyat dielakkan dengan berkesan.
Hal ini kerana kepercayaan rakyat tidak boleh dibina dengan janji manis semata-mata sebaliknya memerlukan tindakan yang telus seperti pelaksanaan Pelan Tindakan Pembanterasan Rasuah ATM 2026–2030.
Pelan ini berfungsi sebagai panduan kawalan yang memperketat pengurusan kewangan pasukan, memperkemas saluran aduan dan memastikan akauntabiliti dipelihara pada setiap peringkat.
Tanpa integriti yang jitu, aset paling canggih di dunia tidak mungkin mampu mempertahankan negara kerana kekuatan sebenar telah lumpuh dari dalam.
Pengukuhan rohani dan pertahanan menyeluruh
Bagi memperkasakan aspek ini, ATM telah memperkenalkan Modul Pembinaan Jiwa yang dikenali sebagai '3T, iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli, dengan tujuan membina ketahanan rohani warga pasukan.
Pendekatan ini selari dengan kajian yang mendapati bahawa latihan fizikal mesti disepadukan dengan pengukuhan rohani bagi melahirkan wira yang berakhlak dan berdisiplin tinggi.
Apabila jiwa diisi dengan rasa keinsafan dan ketaatan kepada amanah, setiap tugas pertahanan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi keselamatan rakyat serta kemakmuran negara.
Dalam pada itu, dokumen Kertas Putih Pertahanan menegaskan bahawa tugas menjaga kedaulatan negara bukanlah beban yang digalas oleh bahu warga tentera semata-mata.
Melalui pendekatan 'Keseluruhan Masyarakat' atau Pertahanan Menyeluruh, setiap lapisan rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam menyokong keselamatan nasional secara bersama.
Daripada keprihatinan masyarakat awam sehinggalah sumbangan kepada kebajikan veteran yang telah banyak berkorban, kesedaran rakyat merupakan nadi kekuatan pertahanan negara kita.
Sambutan Hari ATM wajar dijadikan peringatan bahawa tentera dan rakyat ialah dua komponen yang tidak boleh dipisahkan ibarat aur dengan tebing.
Langkah memperkasakan pertahanan
Justeru, bagi memastikan keutuhan pertahanan negara secara berterusan, beberapa langkah perlu diperhalusi oleh semua pihak yang terlibat.
Pertama, pihak pengurusan pertahanan perlu meneruskan pelaksanaan pemeriksaan audit tanpa henti dan pergiliran tugas berkala setiap 18 bulan bagi kawasan berisiko tinggi.
Kedua, jurang antara tentera dengan rakyat perlu dirapatkan menerusi program jalinan di peringkat sekolah dan komuniti agar generasi muda dapat menyelami nilai pengorbanan serta memahami peranan pertahanan negara secara lebih dekat.
Ketiga, masyarakat awam perlu menyokong usaha pertahanan dengan menyemak kebenaran maklumat dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Akhir kata, perarakan gagah dan pertunjukan udara sempena Hari ATM memang wajar dibanggakan sebagai lambang kesiapsiagaan pertahanan negara yang berdaya tahan.
Namun, kecemerlangan sebenar pasukan pertahanan tidak terletak pada jumlah aset yang berarak di jalanan tetapi pada ketulusan hati dan kejujuran warga yang memikul amanah tersebut.
Senjata canggih boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi kejujuran dan rasa cinta terhadap tanah air tidak mampu dijual beli.
Oleh itu, jadikanlah Hari ATM pada setiap tahun sebagai detik untuk memperbaharui ikrar bahawa benteng pertahanan negara yang paling kukuh sebenarnya bermula daripada kejujuran dan kebersihan jiwa kita semua.
* Dr Adibah Sulaiman @ Mohamad ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Islam (USIM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
