FELCRA catat keuntungan Interim 1/2021 RM135.15 juta

FELCRA catat keuntungan Interim 1/2021 berjumlah RM135.15 juta bagi tempoh kewangan 1 Januari hingga 30 April lalu. YAMANI HAFIZ (kiri) MOHD NAZRUL IZAM (kanan)
FELCRA catat keuntungan Interim 1/2021 berjumlah RM135.15 juta bagi tempoh kewangan 1 Januari hingga 30 April lalu. YAMANI HAFIZ (kiri) MOHD NAZRUL IZAM (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - FELCRA Berhad (FELCRA) mencatatkan keuntungan Interim 1/2021 berjumlah RM135.15 juta bagi tempoh kewangan 1 Januari hingga 30 April lalu sekali gus melonjak keuntungan ketara sebanyak 146 peratus daripada RM54.93 juta pada tempoh sama 2020 bagi projek-projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P).

Daripada jumlah keuntungan tersebut, sebanyak RM74.31 juta bakal dibayar sebagai Agihan Interim Interim 1/2021 secara berperingkat bermula Isnin ini kepada 63,353 peserta daripada 656 projek yang mencatatkan keuntungan.

Agihan bulanan berjumlah RM4.17 juta pula sudah dibayar untuk tempoh Januari hingga April lalu menjadikan jumlah keseluruhan bayaran Agihan Interim 1/2021 adalah sebanyak RM78.48 juta.

Pengerusi FELCRA, Yamani Hafiz Musa dalam kenyataan pada Jumaat berkata, walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19, pihaknya melaksanakan tanggungjawab kepada peserta untuk menjanakan pendapatan yang optimum bagi Projek Peserta.

Menurutnya, komitmen tersebut serta dorongan harga komoditi yang lebih tinggi menghasilkan bayaran keuntungan memberangsangkan.

“Alhamdulillah, dari jumlah keuntungan yang dijanakan, sebanyak RM78.48 juta diagihkan kepada peserta yang layak berbanding agihan RM30.3 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

“Jumlah ini termasuk Agihan Bulanan yang telah dibayar bagi tempoh Januari hingga April 2021,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA, Mohd Nazrul Izam Mansor memberitahu, di sebalik kadar keuntungan yang lebih baik bagi Interim 1, pihaknya tetap akur akan beberapa faktor yang memerlukan penambahbaikan seperti kadar produktiviti dan kos operasi ladang peserta.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, bagaimanapun pelbagai usaha transformasi syarikat sejak tahun 2018 memberi impak positif kepada kadar keuntungan seperti pelaksanaan konsep GAP (Amalan Pertanian Baik) dalam proses harian pengurusan estet.

“FELCRA juga terus menyediakan peluang pekerjaan di estet-estet demi membina kepakaran penuaian dalam kalangan modal insan tempatan, dengan 2,500 pengendali tuaian dijangka diperlukan di seluruh negara untuk memenuhi keperluan penuaian dan pengurusan pokok.

“Pengolahan optimal proses perniagaan perladangan peserta dan komersil FELCRA juga memberikan impak positif dari segi pengurusan kewangan, pelaporan, pengurusan pembajaan dan lain-lain proses aliran kerja yang berkaitan pengurusan operasi harian,” ujar Mohd Nazrul.