KPDN tegas dalam isu kempen antisawit

Armizan (kiri) menandatangani plak perasmian pembukaan cawangan pertama Richiamo Mart Sdn Bhd, diiringi Muhamad Zamry (tengah) dan Wan Najib (kanan).
Armizan (kiri) menandatangani plak perasmian pembukaan cawangan pertama Richiamo Mart Sdn Bhd, diiringi Muhamad Zamry (tengah) dan Wan Najib (kanan).
A
A
A

BANGI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan penguatkuasaan secara tegas terhadap produk dilabel dengan kempen memboikot produk minyak kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana industri kelapa sawit adalah salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dan semua pihak wajar mempertahan perniagaan itu daripada sebarang diskriminasi.

Beliau sehubungan itu berkata, tidak ada alasan untuk KPDN serta kementerian dan agensi lain untuk berdiam diri terhadap sebarang kempen memboikot produk kelapa sawit.

"Kita mengalu-alukan saranan Menteri Perladangan dan Komoditi agar kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dapat meningkatkan penguatkuasaan dari awal kemasukan.

"Ini akan melengkapkan ekosistem bukan saja penguatkuasaan KPDN apabila produk itu sudah sampai di premis perniagaan tetapi kawal selia itu sudah bermula dari pintu masuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pembukaan Cawangan Pertama Richiamo Mart Sdn Bhd dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Plaza Bangi Perdana di sini pada Ahad.

Wan Najib (kiri) dan Muhamad Zamry (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Armizan (tengah) pada majlis pembukaan cawangan pertama Richiamo Mart pada Ahad.
Wan Najib (kiri) dan Muhamad Zamry (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Armizan (tengah) pada majlis pembukaan cawangan pertama Richiamo Mart pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Sdn Bhd, Muhamad Zamry Abu Samah dan Pengarah Urusan Richiamo Mart Sdn Bhd, Wan Najib Wan Daud.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kementerian Perladangan dan Komoditi memberi amaran tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini agar tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani dilaporkan berkata, kementeriannya akan bertindak tegas terhadap kempen boikot terbabit yang sebelum ini dilaksanakan dengan agresif di luar negara.

Amaran dan penegasan itu dibuat susulan tindakan KPDN menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan 'No Palm Oil' (NPO) atau 'Tiada Minyak Sawit' pada plastik pembungkusan produk itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status terkini audit minyak masak peket bersubsidi dan pendedahan senarai syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terbabit dalam penyelewengan, Armizan berkata, proses itu berada pada peringkat akhir dan akan diumumkan kelak.

Menurutnya, proses audit yang bermula Oktober lalu hampir dilengkapkan dan sudah ada tindakan seperti pembatalan lesen pembungkusan beberapa syarikat.

Ujarnya lagi, audit dan senarai lengkap akan diumumkan kemudian dalam masa terdekat ini selepas mengambil kira semua langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan.

"Kita bukan hanya jalankan audit tetapi turut melaksanakan langkah memperkemas perkara ini agar subsidi rakyat betul-betul sampai kepada kumpulan sasaran.

"Ini termasuk cadangan agar minyak masak peket tak dijual kepada warga asing dan pada saya, pelaksanaan perlu datang dengan mekanisme penguatkuasaan. Larangan tapi tidak ada mekanisme tak memadai.

"Ia perlu dilihat secara holistik daripada penyaluran, pelantikan serta penguatkuasaan," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!