BAT Malaysia catat keuntungan RM72.9 juta

Nedal Salem
Nedal Salem
A
A
A

BRITISH American Tobacco (Malaysia) Berhad mencatatkan keuntungan RM72.9 juta berbanding RM108.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, keputusan kewangannya untuk suku kedua berakhir 30 Jun tahun ini turut menunjukkan peningkatan berjumlah RM678.1 juta, lebih tinggi daripada RM637.5 juta direkodkan tahun lalu.

Menurutnya, sehubungan dengan itu Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen biasa interim kedua sebanyak 16 sen setiap saham biasa berjumlah RM45.7 juta, dibayar pada 22 Ogos 2023 kepada pemegang saham.

"Keputusan kewangan kami adalah dalam jangkaan memandangkan iklim ekonomi yang sukar.

"Walau bagaimanapun, kami menjangkakan ia adalah kesan jangka pendek untuk kami terus maju sebagai organisasi terbilang dalam segmen kategori baharu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, kumpulannya menyasarkan untuk terus mengembangkan produk glo™, sebagai persediaan untuk pelancaran Vuse yang kini merupakan nombor satu global jenama vaping.

"Kedua-dua glo™ dan Vuse mewakili usaha kumpulan untuk menawarkan alternatif pilihan risiko yang dikurangkan kepada perokok dewasa," ujarnya

Tambahnya lagi, kumpulan itu juga positif bahawa kerajaan akan terus memacu perjuangan terhadap tahap pasaran gelap tembakau yang tinggi dan berharap pembentangan Bajet 2024 akan terus melihat langkah semasa seperti mengetatkan kawalan ke atas pengimportan rokok.

"Ïni termasuk meningkatkan kawalan di sepanjang pantai Malaysia dan di tempat pendaratan termasuk jeti persendirian dan pelaksanaan berterusan skim ganjaran khas untuk agensi penguatkuasaan menjadi dikekalkan," katanya