Sokongan bersyarat PN langgar titah Agong

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Sokongan ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dalam menamakan seorang calon Perdana Menteri disifatkan bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana tindakan 50 ahli Parlimen PN itu yang menamakan ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri adalah sokongan bersyarat.

Menurutnya, ia jelas melanggari arahan dalam surat pemakluman oleh Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan akuan kepercayaan kepada calon Perdana Menteri mestilah tanpa syarat.

“Ini bermakna ahli Parlimen PN telah membohongi Seri Paduka Baginda dalam surat akuan bersumpah mereka yang tidak menyatakan syarat. Sebaliknya, kenyataan media oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan mereka adalah bersyarat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan syarat dan ugutan yang dibuat oleh PN terhadap Ismail Sabri akan menjadikan Malaysia mudah dipengaruhi oleh politik peras ugut.

“Sekiranya Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri, kerajaan baharu yang dibentuk akan berterusan dalam suasana tidak stabil dan kucar-kacir politik akan berulang.

"Satu proses baharu perlu difikirkan bagi menjamin Perdana Menteri yang dilantik kelak adalah kalangan pemimpin yang tidak takut dengan peras ugut politik dalaman dan tidak terikat dengan kepentingan politik parti sendiri,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya percaya berasaskan kepada pergolakan politik dalaman UMNO sebelum kejatuhan Muhyiddin, sudah pasti Ismail Sabri turut berdepan peras ugut dan syarat yang tidak didedahkan oleh kumpulan Presiden UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam membuat keputusan dan meneliti perkara ini sedalam-dalamnya demi masa depan negara tercinta,” katanya.

Pada Khamis, Muhyiddin mengesahkan kesemua 50 ahli Parlimen daripada parti gabungan itu sebulat suara mencalonkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi kerajaan PN yang baharu secara bersyarat.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 31 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 18 daripada Pas, seorang wakil Parti Solidariti Tanah Airku (Star), serta empat bebas pro-PN.

Menurutnya, beliau juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan sama.

Perbincangan khas Raja-Raja Melayu dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang Jumaat di Istana Negara bagi membincangkan isu semasa termasuk calon Perdana Menteri kesembilan.