Tujuh lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang dikenakan PKPD

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tujuh lokaliti di tiga negeri iaitu Sabah, Kelantan dan Pahang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu hingga 3 September ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, ia membabitkan empat lokaliti di Sabah, dua di Kelantan dan satu di Pahang.

"PKPD di Sabah melibatkan dua lokaliti di Telupid iaitu Kampung Gambaron 1 dan Ladang Ribu Bonus, manakala dua lagi lokaliti adalah Perumahan Ladang Cepat Wawasan 700 dan Perumahan Ladang Meridian Paitan yang kedua-duanya di Beluran.

"Di Kelantan pula melibatkan dua perkampungan Orang Asli Pos Blau, Gua Musang iaitu di Kampung Blau dan Kampung Batang," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, Kampung Orang Asli Sungai Lebak, Bentong pula merupakan lokaliti yang dikenakan PKPD di Pahang.

Kata beliau, PKPD itu dilaksanakan selepas pihaknya meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Sementara itu, Rodzi berkata, PKPD di empat lokaliti di Kedah, Sabah dan Pahang yang dijadualkan tamat Jumaat pula dilanjutkan selama dua minggu.

"Ia merangkumi lokaliti Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah, Langkawi; Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik yang kedua-duanya di Tawau dan Kompleks Penjara Bentong termasuk kuartersnya.

Artikel Berkaitan:

"PKPD di lokaliti-lokaliti ini dilanjutkan dari 21 Ogos hingga 3 September depan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, PKPD di tiga lokaliti di Kelantan, Sabah dan Pahang ditamatkan Jumaat seperti yang dijadualkan.

"Ia membabitkan Kampung Morak, Mukim Kebakat, Tumpat; Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod dan Felda Sungai Koyan 1 dan 2, Lipis," katanya.