Kastam rampas alat ganti kenderaan bernilai RM1.1 juta

Jabatan Kastam Diraja Malaysia gagalkan cubaan seludup alat ganti kereta dianggarkan berjumlah RM1.1 juta menerusi tiga serbuan di Machap dan Johor Bahru pada 8 Julai lalu. - Foto Kastam
Jabatan Kastam Diraja Malaysia gagalkan cubaan seludup alat ganti kereta dianggarkan berjumlah RM1.1 juta menerusi tiga serbuan di Machap dan Johor Bahru pada 8 Julai lalu. - Foto Kastam
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggagalkan cubaan menyeludup alat ganti kereta dianggarkan berjumlah RM1.1 juta menerusi tiga serbuan di Machap dan Johor Bahru pada 8 Julai lalu.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, dalam serbuan pertama pada jam 5.30 petang, pasukan penguat kuasa menahan sebuah treler di Kilometer 75.4 Lebuhraya PLUS (arah utara) di Machap dan merampas 8,194 unit alat ganti kenderaan.

"Pada hari dan masa yang sama, anggota penguat kuasa melakukan serbuan ke atas sebuah treler di Taman Ekoperniagaan Johor Bahru dan merampas 2,898 unit alat ganti kenderaan.

"Selain alat ganti kenderaan, anggota penguat kuasa juga menemukan 4,530 bungkus makanan dan 1,282 unit peralatan komputer peribadi terpakai yang tidak mempunyai permit import sah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sazali berkata, dalam serbuan ketiga pada jam 7.10 malam, anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan ke atas sebuah treler di Danga Bay dan merampas 650 unit alat ganti kenderaan.

Katanya, kesemua alat ganti kenderaan yang dirampas itu diimport dari negara jiran dengan dokumen pengikraran pengimportan dipercayai tidak benar.

"Anggaran keseluruhan nilai barang rampasan RM1.1 juta dan cukai sebanyak RM222,628.

"Ketiga-tiga pemandu lori treler terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia 33 hingga 61 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.