Gagal lapor rasuah, bekas eksekutif didenda RM7,000

Nor Azleela (kanan) menutup muka ketika memasuki Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah pada Khamis.
Nor Azleela (kanan) menutup muka ketika memasuki Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah tidak melaporkan kesalahan rasuah, seorang bekas eksekutif pembelian di sebuah syarikat minyak dan gas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Nor Azleela Ali, 43, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua bulan, jika gagal membayar denda.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Suzana menasihati tertuduh supaya insaf dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia sebagai seorang Senior Buyer di Sapura Energy Berhad telah diberikan wang suapan RM4,000 oleh seorang individu yang merupakan pengarah sebuah syarikat melalui akaun simpanan Bank CIMB milik tertuduh.

Wang suapan itu diberikan kepada tertuduh sebagai dorongan membocorkan maklumat harga tender syarikat lain bagi projek 'Provision Of Engineering, Procurement, Construction, Installation And Commissioning (EPCIC) Of Pegaga Development Project' daripada Sapura Energy Berhad.

Ia yang mana melanggar peruntukan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) iaitu tertuduh gagal melaporkan kesalahan pemberian suapan tersebut kepada SPRM dan pihak polis.

Kesalahan dilakukan di Bank CIMB, Cawangan Solaris Mount Kiara, Jalan Solaris di sini masing-masing pada 23 Mei dan 6 Oktober 2020.

Artikel Berkaitan:

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang membawa denda maksimum RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan denda pada tahap rendah tanpa hukuman penjara dengan alasan sudah diberhentikan kerja.

"Saya mengaku salah dengan apa yang saya lakukan, sepanjang berada dalam lokap SPRM ia sudah cukup memberi pengajaran," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noryusriza Zulkifli mengesahkan tertuduh telah ditahan reman selama empat hari bermula 14 April lalu dan menyerahkan budi bicara kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja tender pembekalan cat untuk projek EPIC of Pegaga Development telah menghubungi seorang lelaki dan meminta wang sagu hati kerana tertuduh telah membocorkan maklumat berkaitan harga tender syarikat lain yang bersaing untuk tender bagi projek tersebut.

Hasil siasatan mendapati tertuduh gagal melaporkan pemberian rasuah RM4,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh yang mana ia sebagai dorongan tertuduh membocorkan maklumat.