Pukul isteri, tidak benarkan periksa telefon bimbit

Seorang suami memukul isterinya gara-gara tidak membenarkan wanita itu memeriksa telefon bimbit dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Kosas di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Mohamad Farouk
Seorang suami memukul isterinya gara-gara tidak membenarkan wanita itu memeriksa telefon bimbit dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Kosas di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Seorang suami sanggup memukul isterinya gara-gara tidak membenarkan wanita itu memeriksa telefon bimbitnya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Kosas di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, wanita berusia 19 tahun yang merupakan seorang suri rumah cuba mengambil telefon bimbit suaminya untuk diperiksa ketika berbincang hal perbelanjaan rumah tangga.

"Suaminya berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengizinkan telefon itu diperiksa sehingga berlaku pergaduhan dan pergelutan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, pergaduhan dileraikan ibu wanita berkenaan yang tinggal berhadapan dengan rumah pasangan terbabit.

"Pasangan ini berkahwin pada Oktober tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lima bulan," jelasnya.

Beliau berkata, punca pergaduhan adalah disebabkan lelaki yang bekerja sebagai penghantar kurier itu pulang ke rumah pada lewat pagi dan tidak membenarkan isterinya memeriksa telefon bimbit.

"Akibat pergelutan, wanita itu mengalami kecederaan ringan iaitu lebam di lengan kiri dan kanan, serta kesan lebam lutut kiri akibat terjatuh. Mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur," ujar beliau.

Mohamad Farouk berkata, lelaki itu kemudian ditahan pada jam 9.30 malam Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta keganasan Rumah Tangga," katanya.