Empat negeri, Labuan, Lembah Klang catat vaksinasi lebih 40 peratus

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Empat negeri dan Labuan serta Lembah Klang mencatat peratusan vaksinasi populasi dewasa Malaysia melebihi 40 peratus iaitu nilai ambang yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Empat negeri tersebut adalah Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka.

Selebihnya, lima negeri telah mencapai kadar peratusan antara 30 hingga 39 peratus adalah Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Pahang dan Kedah.

Manakala Kelantan, Johor dan Sabah berada dalam kategori 20 hingga 29 peratus vaksinasi daripada jumlah populasi dewasa.

Dalam kenyataan bersama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Mohd Shafiq Abdullah dan KSU Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsi berkata, mengambil kira penjadualan bekalan penghantaran vaksin pada bulan Ogos, kesemua negeri disasarkan akan mencapai nilai ambang tersebut pada akhir bulan ini.

"Peratusan populasi dewasa Malaysia yang lengkap divaksinasi mencapai 47.2 peratus, sementara lebih 73 pula telah sekurang-kurangnya menerima suntikan dos pertama setakat 16 Ogos," katanya.

Mereka berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berada pada landasan tepat dalam usaha untuk mencapai perlindungan yang disasarkan pada Oktober depan.

"Setakat ini, lebih 28 juta dos suntikan telah diberikan di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafiq dan Siti Hamisah berkata, momentum kadar pemberian vaksinasi negara juga terus kekal konsisten di mana terus melepasi 500,000 suntikan pada Selasa iaitu sebanyak 501,776 dos yang diberikan.

"Daripada jumlah tersebut, 325,902 suntikan adalah untuk dos kedua, manakala 175,874 suntikan adalah untuk dos pertama," katanya.

Ujar mereka, vaksin Covid-19 sangat berkesan terutamanya untuk mencegah jangkitan.

"Daripada 19,740 kes baharu yang dilaporkan pada 16 Ogos, hanya 1.5 peratus kes berada pada kategori tiga hingga lima iaitu memerlukan rawatan rapi kerana jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan ventilator," katanya.

Tambah mereka, majoriti kes harian iaitu 85.13 peratus adalah kes kategori satu dan dua.

"Kes harian mencatatkan penurunan di Sarawak dan Labuan hasil liputan imunisasi yang tinggi," katanya.

Tambah mereka, sebanyak 881.5 peratus penduduk dewasa telah menerima dua dos lengkap vaksin manakala Labuan, 89.3 peratus.

"Pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang mendapati terdapat penurunan kes kemasukan hospital dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang jumlah kemasukan harian pesakit menurun sebanyak 50 peratus sejak seminggu lalu," katanya.

Katanya, situasi yang sama berlaku di Pahang, bilangan pesakit kategori tiga, empat dan lima mulai menurun.

"KKM akan terus melaksanakan pengurusan bersepadu Covid-19 di wilayah-wilayah lain di seluruh negara bagi mengoptimumkan sumber mengikut konsep clustering seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang," katanya.