Tiga wanita menyamar 'NGO' mencuri diberkas

Eng Lai.
Eng Lai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga wanita kerana disyaki menyamar sebagai anggota badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang datang untuk menyerahkan bantuan sebelum bertindak mencuri wang tunai RM8,000 milik seorang wanita warga emas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di sini pada 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya berjaya menahan dua wanita berusia 23 dan 43 tahun itu pada Sabtu dan merampas 17 bungkus makanan pelbagai jenis dan jenama, empat telefon bimbit serta pakaian yang digunakan semasa kejadian.

Menurutnya, hasil soal siasat seorang lagi wanita berusia 23 tahun telah ditahan pada Selasa dan ketiga-tiga mereka mengaku terlibat dalam kes terbabit.

"Modus operandi sindiket itu adalah dengan menyamar sebagai anggota NGO kebajikan yang datang untuk menyerahkan bantuan.

"Semasa urusan penyerahan sumbangan dilakukan, salah seorang suspek telah menyelinap masuk ke dalam bilik tidur untuk mencuri barangan milik mangsa. Sindiket ini juga turut mensasarkan golongan warga emas yang tinggal bersendirian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, suspek utama berusia 43 tahun itu turut mempunyai 12 rekod kesalahan jenayah lampau, manakala seorang lagi rakannya mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah termasuk kes pecah rumah dan curi dalam bangunan.

"Ketiga-tiga suspek kini sedang ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bagi membantu siasatan lanjut.

"Susulan dari operasi yang dijalankan ini, kita telah berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian dalam bangunan yang dilaporkan di sekitar Jinjang pada tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan polis menerima satu laporan berkenaan kejadian curi di kediaman seorang wanita warga emas berusia 82 tahun di PPR Intan Baiduri di sini yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian M8,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas disamun penjenayah menyamar 'pemberi bantuan'