Kenang jasa Abah dan kabinetnya

Pujian harus diberikan kepada Muhyiddin dan seluruh anggota kabinet yang memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing demi untuk rakyat. - Foto Bernama
Pujian harus diberikan kepada Muhyiddin dan seluruh anggota kabinet yang memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing demi untuk rakyat. - Foto Bernama
A
A
A

TIADA siapa boleh menafikan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengemudi bahtera negara ini dengan menempuh gelora yang amat getir.

Selama 18 bulan berjuang berlawan dengan pandemik Covid-19, harus diakui bahawa banyak yang telah dilakukan oleh Muhyiddin atau Abah untuk menyelamatkan negara.

Belum ada lagi mana-mana pemimpin yang pernah melalui tiga krisis serentak iaitu krisis politik, kesihatan dan ekonomi.

Pujian juga harus diberikan kepada seluruh anggota kabinet yang memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing demi untuk rakyat.

Pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Abah yang meliputi semua peringkat rakyat dan sektor perniagaan ketika pandemik ini.

Malah, PN juga telah menempah lebih 87 juta dos vaksin melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion ringgit dan dijangkakan kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik menjelang Oktober menerusi kejayaan program vaksinasi.

Namun memang sudah menjadi lumrah bagi mana-mana kerajaan akan mendapat kritikan dan itu adalah perkara biasa yang harus dilalui.

Jika Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang kukuh dengan majoriti besar, semua perkara ini tidak akan berlaku dan Abah dapat mengemudi kapal dengan lebih mudah tetapi malangnya kerajaan ini sangat rapuh dan terdedah dengan pelbagai ancaman.

Artikel Berkaitan:

Ketabahan dan kekuatan Muhyiddin untuk mengharungi segala rintangan sudah cukup untuk membuktikan beliau adalah seorang negarawan yang terpahat dalam sejarah negara.

Hayat politik beliau masih belum berakhir, dalam politik negara masih ada banyak kemungkinan boleh berlaku dan hanya masa sahaja dapat menentukan.

Kepada kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan, krisis yang sedang dialami negara pada ketika ini bakal diwarisi dan tidak akan diberikan laluan yang mudah.

Ingatan harus diberikan jika mereka melakukan kesilapan maka mereka juga boleh dihukum oleh rakyat apabila tiba masanya.

Pada masa ini, rakyat memang mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk memastikan kehidupan mereka terjamin.

Seandainya kerajaan baharu gagal untuk menunjukkan prestasi lebih baik berbanding kerajaan PN, maka ia akan memberikan imej yang amat buruk.