Polis trafik selamatkan 3 beranak hampir hanyut di Sungai Klang

Dua orang anggota JSPTKL berusaha menyelamatkan tiga beranak yang hampir hanyut di Sungai Klang pada Ahad. Foto: Facebook Ahyie Hairi
Dua orang anggota JSPTKL berusaha menyelamatkan tiga beranak yang hampir hanyut di Sungai Klang pada Ahad. Foto: Facebook Ahyie Hairi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan pantas dua anggota polis dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berjaya menyelamatkan tiga beranak yang hampir dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jalan Kuching di sini pada Ahad.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam sekitar jam 3.20 petang pada Ahad untuk mendapatkan bantuan terhadap seorang lelaki, seorang perempuan dan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam banjir kilat

Menurutnya, dua orang anggotanya bergegas ke lokasi di Sungai Klang, tepi Jalan Kuching menghala Jalan Kinabalu dan bertindak pantas memberi bantuan kepada ketiga-tiga mangsa tersebut.

“Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Mangsa mengatakan sedang memancing ikan di tepi Sungai Klang dalam keadaan hujan lebat dan tiba-tiba air naik tanpa mereka sedari,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kejadian itu turut tular di media sosial dengan kebanyakan netizen memuji keberanian dua anggota polis trafik berkenaan yang mengambil risiko membahayakan nyawa bagi menyelamatkan ketiga-tiga mangsa yang terperangkap di Sungai Klang.

Artikel Berkaitan: