Karpet putih lapik terakhir jenazah tiga beranak

Nik Amirah dan Nik Mohd Zulmi serta anak bongsu, Nik Aishah Azzahra maut di tempat kejadian manakala dua lagi anak mereka, Nik Adilia Zulaikha dan Nik Adam Zarif cedera.
Nik Amirah dan Nik Mohd Zulmi serta anak bongsu, Nik Aishah Azzahra maut di tempat kejadian manakala dua lagi anak mereka, Nik Adilia Zulaikha dan Nik Adam Zarif cedera.
A
A
A

KOTA BHARU - Karpet putih digunakan ketika majlis perkahwinan Nik Amirah Nik Ab Rahman, 40, dan suaminya, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, akan digunakan sebagai lapik terakhir jenazah pasangan itu dan anak mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, yang maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas pada Sabtu malam.

Ibu Nik Amirah iaitu Amnah Ismail, 64, berkata, karpet putih itu dilihat berada di dalam bilik anak perempuannya itu beberapa hari lalu.

Amnah yang baharu pulang dari Kuala Lumpur pagi Ahad kerana menziarahi besannya yang meninggal dunia pada Sabtu reda dengan pemergian anak, menantu dan cucunya itu.

"Seminggu berada di Kuala Lumpur, Nik Amirah mengemas rumah dan mengeluarkan karpet itu yang sebelum ini saya tidak tahu di mana dia menyimpannya.

"Dia mungkin sudah boleh merasai pemergiannya cuma kita tidak tahu. Apabila jenazah anak, menantu dan cucu dibawa pulang ke rumah, saya akan gunakan (karpet putih) untuk melapik jenazah mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Badak di sini pada Ahad.

Kereta jenis Nissan Sentra dinaiki Nik Amirah bersama suami dan tiga anaknya dihempap pokok di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas pada Sabtu malam.
Kereta jenis Nissan Sentra dinaiki Nik Amirah bersama suami dan tiga anaknya dihempap pokok di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas pada Sabtu malam.

Menurutnya, Nik Amirah gemar mengemas dapur kerana hobinya memasak dan masakannya akan dikongsi di TikTok.

Katanya, arwah sangat gembira apabila dimaklumkan pinjaman perumahannya diluluskan dan dia sepatutnya membina rumah bulan ini.

Dia bagaimanapun tidak mahu meneruskan pembinaan rumah itu kerana Nik Amirah sudah tiada.

"Kami sudah membersihkan tapak dan saya minta untuk menggali telaga terlebih dahulu dan pembinaan rumah dijangka bermula September depan," katanya.

Warga emas itu juga akan mengambil tanggungjawab menjaga dua anak Nik Amirah iaitu Nik Adelia Zulaikha, 11 dan Nik Adam Zarif, 9, yang cedera dalam kejadian tersebut dengan dibantu ahli keluarga lain.

"Insya-ALLAH saya akan menjaga dua cucu ini selagi selagi ada hayat. Rumah ini pun boleh diduduki mereka dua beradik," katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham Nik Amirah, Nik Arina Nik Ab Rahman, 30, berkata, kakaknya tidak pernah berkira dengan sesiapa terutamanya adik-beradik.

Amnah (dua dari kanan) diziarahi rakan-rakan arwah Nik Amirah di rumahnya di Kampung Badak pada Ahad. (Gambar kecil: Nik Arina)
Amnah (dua dari kanan) diziarahi rakan-rakan arwah Nik Amirah di rumahnya di Kampung Badak pada Ahad. (Gambar kecil: Nik Arina)

Katanya, arwah seorang yang tidak pernah memberi alasan jika ada yang memerlukan bantuannya.

"Abang ipar (suami Nik Amirah) juga seorang yang sangat baik dan mudah untuk meminta tolong. Semua perkara dianggap mudah kerana mahu membantu," katanya.

Menurut Nik Arina, kakaknya sentiasa memasak untuk mereka sekeluarga dan setiap hari membuat kuih untuk disedekahkan kepada saudara-mara sekitar kediamannya.

Dalam kejadian jam 8 malam pada Sabtu itu, tiga beranak terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi anak mereka cedera dan dibawa ke Hospital Machang.