Letak jawatan Perdana Menteri kerana tuntutan Perlembagaan: Muhyiddin

Muhyiddin melambai tangan kepada pihak media. - Foto Bernama
Muhyiddin melambai tangan kepada pihak media. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dan barisan Kabinetnya telah meletak jawatan secara rasmi pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan dirinya telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Pada hari ini saya letak jawatan sebagai perdana menteri dan seluruh Kabinet sebagaimana yang dikehendaki perlembagaan.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya pada Perutusan Khas yang disiar secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada Isnin.


Berikut merupakan teks penuh ucapan Muhyiddin:


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera

Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sekalian sihat wal’afiat.

Artikel Berkaitan:

1. Saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari tadi di Istana Negara.

2. Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan.

3. Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun lima belas Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang. Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen.

4. Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

5. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”. Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

6. Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

7. Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

8. Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi. Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

9. Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah s.w.t. yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.

10. Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

11. Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi.

12. Sesungguhnya, jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.

13. Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

14. Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.

16. Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini. Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf.

17. Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa. Tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.

18. Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.

19. Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian.

20. To all my fellow Malaysians, you don’t have to worry. My cabinet has ordered more than enough vaccines for all of you. If the vaccination programme goes well, all of you will get vaccinated by end of October.

21. I hope the new government which takes over the administration of this country will take a good care of all of you because it is the only thing that I care about. I care for you always.

22. Saya senantiasa prihatin dengan nasib saudara dan saudari sekalian kerana saya anggap saudara dan saudari sebagai anak-anak saya sendiri. Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat.

23. Saya optimis bahawa negara kita akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat. Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan. Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

24. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19. Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya buat semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Saya berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.

25. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat kepada rakyat.

26. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yg telah berkorban masa dan tenaga bersama saya selama ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain pegawai yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Anda semua telah banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini.

27. Ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak dahulu hingga ke hari ini.

28. Terima kasih juga kepada kepimpinan BERSATU, pimpinan tertinggi Perikatan Nasional dari parti PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN, pimpinan Gabungan Parti Sarawak, pimpinan MCA dan MIC serta sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang terus memberikan sokongan kepada saya hingga ke saat akhir.

29. Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua.

30. Kekal bertenang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

31. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memelihara keselamatan dan keamanan negara kita dan mengekalkan perpaduan seluruh rakyat.