Dua ahli Amanah didakwa di mahkamah

Zulaiha selesai membayar jaminan RM1,000 selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin. Safarizal hadir ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin.
Zulaiha selesai membayar jaminan RM1,000 selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin. Safarizal hadir ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang ahli parti politik didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Naib Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Teluk Intan, tahun lalu.

Safarizal Saleh, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Zulaiha Mohd Azam, 32, atas bangkitan rasa marah yang besar dan mengejut daripada wanita terbabit tanpa maksud hendak menyebabkan kecederaan kepadanya.

Ahli Jawatankuasa Amanah Perak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di Jalan Changkat Jong, di sini kira-kira jam 9.30 malam pada 14 Oktober 2020.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Zulaiha yang didakwa di mahkamah sama turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah menggunakan jenayah kekerasan terhadap Safarizal.

Tertuduh yang juga Naib 3 Amanah Kawasan Teluk Intan didakwa melakukan perbuatan itu pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili Peguam Akhiruddin Mohamad Taib dan Tejal Harash.

Sinar Harian pada 19 Oktober 2020 melaporkan seramai lapan saksi telah diambil keterangan berhubung kejadian dua wanita dikasari dan ditumbuk ketika menghadiri mesyuarat sebuah parti politik di Teluk Intan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin politik wanita dikasari, lapan saksi diambil keterangan