Mohamad sekali lagi hadir ke SPRM bantu siasatan

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sekali lagi hadir ke Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Selasa.
Kehadiran beliau dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana zakat yang dikaitkan dengannya.
Ia merupakan hari kedua Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang hadir ke pejabat penguatkuasa tersebut untuk dirakam keterangan.
Sebelum itu, kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang membawa beliau dilihat memasuki pekarangan Ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah kira-kira jam 9.15 pagi.
Beliau dipercayai memasuki bangunan berkenaan melalui pintu bahagian belakang.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang menyiasat kemungkinan berlakunya salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pulau Pinang berkaitan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Siasatan itu dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang membangkitkan perkara berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung tahun lalu.
Sumber memaklumkan, siasatan tersebut bertujuan mengesahkan dakwaan berkenaan selain menentukan sama ada wujud unsur salah laku atau isu berkaitan tadbir urus.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan telah memanggil seramai 63 individu untuk dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.
Kesemua mereka dipanggil bagi membantu siasatan yang membabitkan urusan pembelian tanah serta dakwaan penyalahgunaan dana zakat untuk bayaran baki pinjaman perumahan.
Menurut sumber, siasatan yang bermula pertengahan Januari lalu kini dipergiatkan termasuk dengan membuat semakan terhadap beberapa akaun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Antara individu yang dipanggil termasuk Ahli Majlis Agama Islam Negeri, Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang serta pegawai dan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri.
Pada masa sama, SPRM turut memanggil Ahli Lembaga Zakat serta pegawai dan kakitangan zakat negeri, selain Timbalan Ketua Menteri berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Ringkasan AI
- Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, hadir ke Ibupejabat SPRM untuk membantu siasatan penyalahgunaan dana zakat
- Beliau diangkut oleh kenderaan jenis Toyota Vellfire ke Ibupejabat SPRM dan memasuki bangunan melalui pintu belakang
- Siasatan SPRM berkaitan dengan pembelian tanah menggunakan dana zakat yang dibangkitkan di persidangan DUN Pulau Pinang
- Sebanyak 63 individu termasuk Ahli Majlis Agama Islam Negeri dan Mufti telah dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan
- Siasatan melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana zakat untuk bayaran baki pinjaman perumahan dan kini dipergiatkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

