Muat naik gambar pijak al-Quran, suspek tiba di mahkamah

KUANTAN – Seorang penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini yang ditahan untuk siasatan berhubung kes memuat naik gambar memijak al-Quran tiba di mahkamah bagi pertuduhan pada Selasa.
Suspek berusia 21 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Suspek yang memakai baju kemeja-T berwarna merah berlengan putih dibawa masuk ke mahkamah kira-kira jam 9.05 pagi dalam keadaan tangan bergari dan dikawal ketat oleh anggota polis.
Dia akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menerusi kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini, berdasarkan penelitian terhadap kertas siasatan mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap lelaki itu.
Pelajar sebuah universiti di sini itu ditahan pada 25 Februari lalu kerana memuat naik gambar memijak al-Quran melalui akaun Threads miliknya.
Penahanan itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh bapanya kerana bimbang akan keselamatan anaknya ekoran perkara tersebut.
Gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran menghina Islam itu menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Sebanyak 82 laporan polis diterima dari seluruh negara berkaitan isu tersebut dan 43 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Seorang penuntut lelaki IPTA ditahan berhubung kes memuat naik gambar memijak al-Quran
- Suspek berusia 21 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan untuk pertuduhan
- Terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
- Penahanan dilakukan selepas laporan polis dibuat oleh bapanya
- Kes ini menimbulkan kemarahan umat Islam dengan 82 laporan polis diterima dan 43 saksi dirakam percakapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
