Sila log masuk terlebih dahulu.

Terbayang detik tembak komunis

Tachmi melihat gambar kenangan yang masih dalam simpanannya ketika ditemui di rumahnya di Tendong, Pasir Mas.
Tachmi melihat gambar kenangan yang masih dalam simpanannya ketika ditemui di rumahnya di Tendong, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - “Semasa pertempuran, jarak saya dengan musuh hanya 30 meter. Sama ada dia atau saya yang mati.

“Tapi saya tak kisah, asalkan saya tidak gagal bertempur,” kata Pegawai Waran II (PWII) Bersara, Tachmi Ismail menceritakan kisah beliau ketika menjadi anggota tentera.

Anggota tentera veteran berusia 64 tahun itu berkata, ketika pertempuran tersebut, beliau menganggotai Unit Risik (UCIS) Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Beliau kemudian diarahkan melakukan operasi menjejak komunis yang dikatakan dalam perjalanan membawa bekalan makanan dan barangan ke kem mereka di sebuah hutan di Sungai Teris, Raub, Pahang.

Menceritakan detik pertempuran pada 26 Ogos 1982 itu, bapa kepada empat cahaya mata dan empat cucu itu berkata, beliau dan dua rakannya sedang menjejak lokasi kem komunis menggunakan kompas milik seorang anggota komunis yang berjaya dibunuh sebelum itu.

“Kami menembak mati seorang komunis dan merampas kompas miliknya. Apabila kami dapat kompas, secara automatiknya kami tahu ke mana sebenarnya si mati mahu membawa makanan berkenaan.

Mayat komunis yang berjaya ditembak mati Tachmi dan rakan-rakan pada tahun 1982.
Mayat komunis yang berjaya ditembak mati Tachmi dan rakan-rakan pada tahun 1982.

“Kami ikut kompas tersebut dan semasa mencari lokasi kem mereka itulah saya terserempak dengan seorang komunis yang ketika itu berada tidak jauh dari saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, anggota komunis tersebut rupa-rupanya ialah pengawal keselamatan di kawasan kem berkenaan yang menunggu ketibaan makanan dan barangan yang dirampas itu.

“Kami saling berpandangan, dia terkejut dan saya pun terkejut. Dia mula melepaskan sembilan tembakan secara bertubi-tubi kepada saya tapi tidak kena. Tembakan saya pula kena pada dia sebelum komunis itu rebah di kawasan berkenaan.

“Tidak sampai 15 minit pertempuran berkenaan, dia akhirnya mati. Semuanya berlaku dalam keadaan cukup pantas,” kata Tachmi ketika ditemui di rumahnya di Tendong di sini.

Tachmi berkata, mayat komunis dikenali sebagai Tan Ah Boon itu dibawa ke tempat selamat sementara menunggu ketibaan helikopter.

Malah, katanya, ketika itu beliau dan rakan-rakan seolah-olah terlupa untuk mandi dan makan kerana misi masing-masing adalah menumpaskan kumpulan komunis berkenaan walau apa cara sekali pun.

“Apa yang kami tahu, tindakan selanjutnya adalah untuk mencari kem berkenaan dan akhirnya kami jumpa walaupun mereka sudah lari,” ujarnya.

Tachmi berkata, walaupun pada waktu kejadian dia baru sahaja berumur 26 tahun, namun semua kenangan yang dilalui bagaikan baru semalam berlaku.

Anugerah Pisau Komando yang diterima Tachmi pada 1984 menjadi kenangan paling indah dalam hidupnya.
Anugerah Pisau Komando yang diterima Tachmi pada 1984 menjadi kenangan paling indah dalam hidupnya.

Beliau berkata, kenangan itu juga sering dibualkan bersama isterinya, Lans Koperal Rohani Daud, 62, yang juga seorang pesara anggota polis yang sentiasa menyokong dan memberi semangat kepadanya.

Dengan kejayaan tersebut juga, Tachmi menerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) tahun 28 Ogos 1982 dan Anugerah Pisau Komando pada 17 Julai 1984 daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sewaktu menerima Pingat Gagah Berani pada 1982.
Sewaktu menerima Pingat Gagah Berani pada 1982.

Dalam pada itu, sempena kemerdekaan tahun ini, Tachmi berkata, besar harapannya untuk melihat ia disambut dengan meriah dengan norma baharu di rumah masing-masing.