NGO aktif jalankan program antirasuah perlu dibantu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan wajar mempertimbangkan bantuan kewangan seperti geran dan insentif kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan program antirasuah.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie Bp Mamal berkata, usaha sokongan perlu dipelbagai dan diperluaskan kepada semua entiti bagi membolehkan usaha membanteras mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurutnya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil telah mencadangkan kerajaan memberi pelepasan cukai secara automatik kepada syarikat atau organisasi yang melaksanakan program pencegahan dan pendidikan rasuah.

“Cadangan tersebut sekali gus membantu meningkatkan pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan liabiliti korporat.

“Sementara pihak kerajaan bertegas dalam menguatkuasakan peruntukan perundangan, pada masa sama perlu ada galakkan dalam pelbagai bentuk untuk meningkatkan kadar pematuhan dan kesedaran dalam kalangan rakyat serta pihak swasta dan industri.

“UNI-MLC juga menyambut baik agenda Pelan Strategik SPRM 2021-2025 untuk pewujudan polisi bagi membolehkan pelepasan cukai kepada mana-mana organisasi yang menyumbang kepada usaha pencegahan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamed Shafie berkata, cadangan tersebut perlu dilakukan segera dan UNI-MLC berharap ia akan diperkenalkan menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di persidangan Parlimen nanti.

Menurutnya, insentif dalam bentuk kewangan tersebut mampu mengurangkan beban yang dialami hampir semua industri ekoran pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: