Saya orang kerajaan, kata Ahmad Hamzah

Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan kepada salah seorang penerima MAFI Prihatin di Wisma Anak Yatim Lelaki Pulau Pinang pada petang Sabtu.
Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan kepada salah seorang penerima MAFI Prihatin di Wisma Anak Yatim Lelaki Pulau Pinang pada petang Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - 'Saya orang kerajaan', itu kenyataan ringkas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika ditanya mengenai cadangan rentas parti yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) berkata, beliau akan tetap setia dan taat kepada kerajaan yang sedang memerintah pada waktu ini.

"Saya datang ke sini atas urusan rasmi kerajaan. Oleh itu, saya tidak dapat memberi apa-apa komen.

"Sebagai orang kerajaan, saya akan bersama-sama kerajaan Perikatan Nasional (PN). Saya orang kerajaan dan saya akan tetap taat dan setia kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin di Wisma Anak Yatim Lelaki Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Muhyiddin mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat, sekali gus kerajaan boleh terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Muhyiddin, beliau sudah berunding dengan ahli kabinet dan pimpinan parti-parti dalam kerajaan PN untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara, bukan untuk kepentingan peribadi serta rakan-rakan lain.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, sebanyak 1.5 tan metrik sayur-sayuran, buah-buahan dan produk industri makanan bernilai RM25,000 telah disumbangkan melalui MAFI Prihatin di Pulau Pinang pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyerahkan bantuan itu kepada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) sebagai usaha untuk membantu mereka yang terkesan ketika penularan pandemik Covid-19.

"Antara NGO yang menerima bantuan ini adalah Persatuan Ibu Tunggal Pulau Pinang; Gabungan Persatuan Pemandu Teksi; Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, golongan B40 dan petugas barisan hadapan.

"Jumlah keseluruhan penerima adalah 500 orang yang mana sayur-sayuran turut disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, manakala produk industri makanan oleh usahawan tempatan," katanya.

Ahmad berkata, sehingga 8 Ogos lalu, seramai 71,491 penerima di 400 buah lokasi di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program MAFI Prihatin dengan melibatkan 10 buah jabatan dan agensi di bawahnya.

"Sementara itu, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA sahaja, ia telah memberi manfaat kepada 29,004 orang yang terdiri daripada petugas barisan hadapan, badan kebajikan dan NGO di 152 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 56.19 metrik tan makanan telah disalurkan.

"Bagi program MAFI Prihatin anjuran FAMA Pulau Pinang pula, ia telah memberi manfaat kepada 1,162 orang penerima yang melibat di 24 lokasi seluruh Pulau Pinang dengan 5.6 metrik tan makanan telah disumbangkan," katanya.