Surirumah, jurukimpal ditipu sindiket Love Scam yang sama

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki dan seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan mereka lebur ditipu sindiket Love Scam dalam dua kejadian berbeza pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pertama, lelaki yang bekerja sebagai jurukimpal berusia 54 tahun itu mengalami kerugian sebanyak RM13,790.

Dalam kes berasingan pula, katanya, seorang suri rumah berusia 48 tahun hilang RM13,700 dipercayai ditipu sindiket sama.

"Dari keterangan dari kedua-dua mangsa, mereka ditipu Love Scam yang sama berikutan modus operandi digunakan suspek adalah serupa.

"Kedua-dua mangsa ditipu individu yang dikenali melalui media sosial, lalu bercinta namun tidak pernah berjumpa. Suspek menyamar kononnya menetap di luar negara," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, individu tersebut kemudian memberitahu mangsa bahawa dia telah menghantar hadiah daripada luar negara sebagai tanda percintaan kepada mangsa.

"Susulan itu, mangsa telah dihubungi seseorang kononnya daripada syarikat penghantaran. Suspek mendakwa hadiah tersebut telah tiba di Malaysia dan mengandungi ribuan wang tunai dalam mata wang dolar Amerika.

"Individu berkenaan meminta mangsa membuat bayaran ke nombor akaun yang diberikan sekiranya ingin menerima barangan tersebut. Mangsa yang teruja membuat beberapa pemindahan wang ke nombor akaun yang diberi tanpa menyemak terlebih dahulu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, kedua-dua mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta wang tambahan walaupun telah diberikan sejumlah wang.

"Kedua-dua mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis semalam (Jumaat)," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan penipuan sindiket yang menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai modus operandi mereka.