Thailand: Penunjuk perasaan, polis bertempur buat kali ketiga

Buat kali ketiga pada minggu ini Bangkok menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di Persimpangan Din Daeng pada Jumaat. -Foto EPA
Buat kali ketiga pada minggu ini Bangkok menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di Persimpangan Din Daeng pada Jumaat. -Foto EPA
A
A
A

BANGKOK - Buat kali ketiga pada minggu ini Bangkok menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di Persimpangan Din Daeng pada Jumaat.

Penunjuk perasaan hari ini digerakkan oleh kumpulan Tha Lu Fah berkumpul di Monumen Kemenangan pada 3 petang (waktu tempatan) dan merancang berarak ke kediaman Prayuth di markas Rejimen Infantri 1 di Jalan Vibhavadi Rangsit.

Bagaimanapun, polis menutup laluan masuk menggunakan kontena dan kawat duri.

Penunjuk perasaan mula melastik batu dan bungkusan cat selain melemparkan mercun ke arah polis.

Polis melepaskan beberapa tembakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk memaksa penunjuk perasaan bersurai.

Hujan lebat menghentikan seketika tunjuk perasaan berikutan ramai yang meninggalkan lokasi, namun masih ada yang enggan berganjak mendorong polis sekali lagi melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

Sementara itu dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 23,418 kes baharu Covid-19, rekod tertinggi untuk hari kedua berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sebanyak 863,189 setakat ini.

Sebanyak 184 kematian baharu dilaporkan, menjadikan keseluruhan 7,126 orang meninggal dunia sejak pandemik bermula Januari tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kes baharu termasuk 5,379 melalui pengesanan kes aktif, 388 banduan dan sembilan kes import. -Bernama