Ramai terbunuh pertempuran penunjuk perasaan di Pakistan

Protes yang semakin meningkat di seluruh Pakistan ekoran penahanan bekas Perdana Menteri, Imran Khan. - Foto: AFP
Protes yang semakin meningkat di seluruh Pakistan ekoran penahanan bekas Perdana Menteri, Imran Khan. - Foto: AFP
A
A
A
NEW DELHI - Ramai penunjuk perasaan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Pakistan susulan protes yang semakin meningkat di seluruh negara ekoran penahanan bekas Perdana Menteri, Imran Khan.

Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (PTA) menggantung perkhidmatan Internet di seluruh negara sehingga diberitahu kelak, atas arahan Kementerian Dalam Negeri, lapor media tempatan.

Pada Rabu, mahkamah membenarkan Biro Akauntabiliti Nasional (NAB), agensi antirasuah, menahan Imran selama lapan hari manakala di mahkamah lain beliau didakwa menjual hadiah negara secara tidak sah semasa menjadi perdana menteri antara 2018 dan 2022.

Imran menerima layanan buruk sejak penahanannya pada Selasa, menurut seorang daripada peguam beliau selepas bekas perdana menteri itu hadir di mahkamah sementara di kemudahan polis di Islamabad pada Rabu.

Sejak digulingkan pada April 2022, beliau didakwa terhadap lebih 100 kes melibatkan keganasan serta rasuah.

Sementara itu, pihak berkuasa terus meningkatkan langkah keselamatan di seluruh negara berikutan protes yang semakin meluas di bandar-bandar utama, termasuk Lahore, Peshawar, Islamabad dan Karachi.

Perhimpunan lebih daripada empat orang diharamkan di Sindh dan Punjab dan tentera juga dikerahkan di Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa

Naib pengerusi PTI Shah Mahmood Qureshi ditahan di Islamabad dan di wilayah Punjab sahaja, lebih 1,000 orang turut ditahan.

Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 27 cedera dalam pertempuran di bandar Peshawar, menurut media tempatan yang memetik sumber hospital.

"Laporan juga menyebut berpuluh-puluh orang tidak bersenjata terbunuh di seluruh Pakistan ketika pasukan polis melepaskan tembakan terus ke arah penunjuk perasaan. Tidak pernah Pakistan menyaksikan kekejaman seperti itu," kata ketua kanan PTI Hammad Azhar di Twitter.

Ketegangan yang berterusan ini mungkin menambahkan lagi masalah ekonomi Pakistan di tengah-tengah rizab pertukaran asing yang semakin berkurangan dan inflasi yang meningkat.

Rupee jatuh 1.3 peratus kepada rekod terendah 288.5 berbanding dolar Amerika pada Rabu. - Bernama