X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Pulau Pinang suntik semangat atlet Paralimpik Tokyo 2020

Nur Azlia Syafinaz antara atlet mengalas cabaran negara pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 yang bermula 24 Ogos hingga 5 September depan.
A
A

KERAJAAN Pulau Pinang menyumbangkan insentif sebanyak RM10,000 kepada atlet paralimpik negeri, yang akan mewakili negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee berkata, insentif tersebut disumbangkan kepada Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, 23 yang merupakan atlet bagi acara lumba basikal trek dan kini sedang menjalani latihan secara kuarantin di kem yang terletak dekat Nilai, Negeri Sembilan.

“Insentif yang disampaikan melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) ini, adalah menunjukkan sokongan serta komitmen kerajaan negeri kepada Nur Azlia Syafinaz, dengan harapan ia dapat memberikan satu dorongan kepada beliau untuk meneruskan perjuangan dan usaha di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya pada sidang media dalam aplikasi Zoom, sempena Majlis Penyampaian Insentif Galakan Atlet Paralimpik Negeri Pulau Pinang ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, pada Jumaat.

Sementara itu, Nur Azlia Syafinaz berkata, buat masa ini persediaan dari segi fizikal dan mental adalah berada dalam keadaan yang baik namun, turut mengakui berasa sedikit gementar kerana kejohanan tersebut adalah merupakan yang pertama kali disertainya.

“Gementar juga untuk berentap di kejohanan dunia...tapi saya harap seluruh Malaysia sentiasa mendoakan kejayaan kami serta turut mendoakan supaya kami selamat pergi dan sampai serta dilindungi dari sebarang jangkitan Covid-19 setelah berjaya menyelesaikan misi negara ini,” katanya yang merupakan OKU cacat penglihatan.

Nur Azlia Syafinaz adalah di antara 22 atlet yang akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo pada 24 Ogos hingga 5 September depan.

Beliau dijadualkan akan berangkat ke Tokyo, Jepun pada 19 Ogos dan bakal berentap bagi acara lumba basikal trek di kejohanan tersebut bermula 25 Ogos. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!