Kerajaan Pulau Pinang tolong jangan usir, rayu penyewa PPR

Penguatkuasa menjalankan tindakan menyita rumah di PPR Taman Manggis semalam.
Penguatkuasa menjalankan tindakan menyita rumah di PPR Taman Manggis semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Kira-kira 22 keluarga melibatkan lebih 100 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis diarahkan mengosongkan rumah mereka selewat-lewatnya 6 Mac ini.

Kebanyakan mereka berada dalam keadaan buntu kerana mendakwa tiada tempat tinggal jika mereka diarahkan berbuat demikian.

Malah semalam, merupakan detik hitam bagi mereka apabila diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas tindakan menyita telah dijalankan pihak penguatkuasa.

Notis pengosongan telah dikeluarkan kerajaan negeri kepada mereka pada Oktober lalu namun mereka enggan berpindah.

Oleh demikian, penguatkuasa telah menyita rumah mereka bermula jam 10.30 pagi hingga 2 petang semalam.

Namun atas desakan penduduk terhadap kerajaan negeri, rumah mereka yang disita dibuka semula pada jam 11 malam.

Dengan budi bicara kerajaan negeri, penduduk diberi tempoh sehingga Rabu ini untuk membuat rayuan dan permohonan namun jika gagal, tindakan menyita rumah akan dikenakan terhadap mereka.

Difahamkan, kesemua mereka diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kadim (kiri), Zainal Abidin .
Mohd Kadim (kiri), Zainal Abidin .



Penduduk, Mohd Kadim Kutnan, 51 berkata, sebelum ini mereka telah mengemukakan rayuan untuk kekal di kediaman tersebut kepada kerajaan negeri berhubung perkara itu namun tidak diberi maklum balas.

Menurutnya, lebih mengecewakan, penduduk terlibat diberi notis pengosongan serta-merta pada Jumaat lalu untuk mengosongkan kediaman mereka.

"Saya terkilan apabila rayuan saya langsung tidak dipedulikan dan kerajaan negeri memberi alasan saya berkahwin dengan warga asing. Bagaimanapun, kami sekeluarga telah mendapat taraf kerakyatan malah lapan anak saya juga bersekolah di sini.

"Saya hanya buruh dan tidak mempunyai pendapatan tetap, gaji saya dibayar harian. Sebab itu saya merayu mahu tinggal di sini, saya tidak mampu untuk menyewa di tempat," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin K Maideen, 45 berkata, dia berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan rayuannya untuk terus tinggal di perumahan terbabit.

"Saya kerja sebagai kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan gaji yang terlalu kecil.

"Saya tidak mampu untuk menyewa di rumah lain. Tambahan pula, saya perlu menanggung isteri dan ibu berusia 80 tahun yang menghidap pelbagai penyakit," katanya.

Bagi Teoh Khoo Beng, 65 pula, dia kini tidak lagi menjalankan perniagaan kecil-kecilannya bagi menyara keluarganya kerana menghadapi masalah kesihatan.

"Saya perlu menyara isteri dan tiga anak yang masih belajar ditambah pula dengan masalah kesihatan saya. Mahu menyewa di luar, saya tidak mampu dan sebab itu saya nak tinggal di sini.

"Anak-anak masih belajar dan saya perlu menanggung keluarga. Dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, saya tidak mampu bekerja apatah lagi menyewa rumah lain," katanya.