Sasar kutip cukai RM20 juta

Abd Rahim (tengah) bersama barisan pegawai MPT selepas selesai mesyuarat penuh bulanan ahli majlis MPT.
Abd Rahim (tengah) bersama barisan pegawai MPT selepas selesai mesyuarat penuh bulanan ahli majlis MPT.
A
A
A

TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyasarkan peningkatan jumlah kutipan cukai taksiran sepanjang tahun ini berjumlah RM20 juta berbanding RM19 juta pada tahun lalu.

Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, sasaran peningkatan itu dianggap realistik kerana pada ketika ini, pihak berkuasa tempatan itu berjaya mengutip cukai taksiran sebanyak RM9.93 juta melibatkan pembayaran 19,000 pemilik harta untuk sepanjang tahun.

Menurutnya, nilai kutipan itu melebihi RM500,000 berbanding nilai kutipan sebanyak RM9.4 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas membabitkan pembayaran dari 15,000 pemilik harta sahaja.

"MPT menjangkakan tahap kesedaran keseluruhan 77,000 pemilk harta direkodkan di seluruh bandar Taiping untuk menyelesaikan cukai taksiran sepanjang tahun ini semakin meningkat.

"Di samping itu, inisiatif MPT menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah dan cenderahati di bawah Program Insentif Cukai Taksiran (PICT) 2019 dengan nilai keseluruhan RM70,000 turut menarik perhatian lebih ramai pemilik harta di sini untuk menyelesaikan cukai taksiran bagi tempoh setahun berbanding tahun 2018," katanya pada majlis mesyuarat penuh bulanan ahli majlis MPT di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, di sebalik perkembangan positif itu, MPT masih meminta mana-mana penduduk yang mempunyai tunggakan cukai taksiran dan gagal melunaskannya, untuk menyelesaikannya dalam tempoh segera.

Menurutnya, pasukan penguatkuasaan cukai taksiran MPT kini sedang giat berusaha mengesan dan bakal mengambil tindakan undang-undang seperti sitaan harta alih jika didapati masih ada penduduk gagal menjelaskan tunggak itu.

"Sehingga 1 Januari 2019, MPT mengenal pasti jumlah tunggakan pembayaran cukai taksiran adalah sebanyak RM9.2 juta, namun pada tahun lalu pihak kami berjaya mengutip semula RM2 juta nilai tunggakan itu menerusi beberapa inisiatif diambil.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan diambil MPT terhadap 15 penduduk memiliki bil tunggakan cukai taksiran dengan nilai melebihi RM500 pada tahun lalu adalah dengan menyita harta alih mereka.

"Pihak penguatkuasa MPT turut menyerahkan waran tahanan kepada 400 pemilik harta merangkumi rumah dan premis kedai di selurun Taiping pada tahun lalu susulan mempunyai tunggakan cukai taksiran dan tindakan tegas sama turut diambil jika mereka terus ingkar menyelesaikannya," katanya.