Angka dirumus Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dicabar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM- Sebarang angka kedudukan yang dirumus oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tanpa proses undian adalah bersifat andaian, spekulatif dan tidak konklusif serta boleh dicabar.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut menegaskan, perbuatan memberi atau melaporkan angka kedudukan jumlah sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pihak lain adalah perbuatan yang salah dan mengelirukan.

Ia susulan terdapat dakwaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dikatakan melaporkan tentang kedudukan jumlah sokongan kepada pihak tertentu.

“Perbuatan ini, jika benar berlaku amatlah salah dan mengelirukan. Pertama, Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah bertanggungjawab mengikut kuasanya seperti dalam Perlembagaan. Bukan semua pihak boleh mengarahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat melakukan sesuatu di luar peraturan.

“Kedua, jumlah sokongan adalah hak ahli Parlimen untuk ditentukan melalui prosedur tertentu dan ia perlu ditentukan dalam sidang.

“Sebarang angka dirumus oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tanpa proses undian dalam Dewan Rakyat adalah bersifat andaian, spekulatif dan tidak konklusif serta boleh dicabar. Ini kerana, setiap ahli Parlimen mempunyai hak dan kebebasan untuk melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka apabila sidang diadakan,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Kenyataan itu dipercayai dibuat setelah Azhar dikatakan telah memaklumkan kepada Istana Negara hanya 100 ahli Parlimen menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, setelah ditanya oleh Istana Negara tentang status terkini bilangan ahli Parlimen yang masih menyokong kerajaan.

Annuar menambah, soal undi percaya terhadap Perdana Menteri merupakan satu proses yang teramat penting dan tidak boleh diandaikan atau dispekulasikan sehingga perkara itu benar berlaku dalam Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Dalam undian yang spesifik begini katanya, tidak mustahil Perdana Menteri tidak mendapat sepenuhnya undi daripada blok kerajaan dan tidak mustahil Perdana Menteri boleh juga mendapat undi pembangkang.

“Tidak harus dilupakan kemungkinan berlaku ketidakhadiran atau hadir tetapi tidak mengundi.

“Justeru, oleh kerana Perdana Menteri telah menetapkan untuk kemukakan usul percaya dalam sidang biasa yang telah pun dijadualkan, maka semua pihak harus bersabar dan menerima proses tersebut yang amat menepati Perlembagaan serta tepat dari segi konvensyen demokrasi berparlimen,” ujarnya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, sebarang usaha yang dilihat bersifat manipulatif, tidak berperlembagaan, percubaan memaksa atau bersifat prejudis dan berpihak akan mengundang krisis dan pertikaian, selain turut berkemungkinan menimbulkan fitnah.

Beliau turut meminta semua pihak harus berhati-hati dalam semua tindakan untuk mengelak berlakunya krisis kepercayaan terhadap ketelusan proses bagaimana sesuatu isu besar dirungkai dan diselesaikan.