X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Kerajaan perpaduan mesti diterajui PH, Anwar calon PM: Khalid Samad

Anwar Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Sekiranya kerajaan perpaduan yang mahu ditubuhkan bagi mengatasi krisis politik yang dihadapi negara buat masa ini, ia mestilah diketuai oleh Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad.

Khalid menegaskan, hanya PH mempunyai bilangan terbesar Ahli Parlimen sekiranya kerajaan perpaduan mahu ditubuhkan bagi menggantikan kerajaan sedia ada.

Beliau menjelaskan, buat masa ini, pendirian Amanah masih kekal untuk PH menerajui sekiranya kerajaan baharu mahu ditubuhkan.

Buat masa ini pendirian kita (Amanah) ialah, PH merupakan kumpulan yang terbesar iaitu gabungan yang mempunyai Ahli Parlimen paling ramai.

"Oleh kerana itu, sekiranya mahu dibentuk atau ditubuhkan kerajaan perpaduan, maka PH lah sepatutnya menjadi induknya, menjadi nukleasnya kerana kita adalah jumlah teramai," katanya kepada Astro AWANI.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menjelaskan, sekiranya ada calon lain selain Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, pihaknya akan membincangkan perkara itu apabila cadangan tersebut dikemukakan.

Namun jelas beliau, buat masa ini PH kekal dengan pendirian Perdana Menteri perlu datangnya dari gabungan tersebut.

"Kalau ada cadangan yang mahu Tengku Razaleigh itu dikemukakan maka kita akan bincang pada ketika itu.

"Tetapi buat masa ini cadangan yang hendak kita (PH) kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong ialah biarlah PH memimpin kerajaan perpaduan yang hendak dibentuk.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dari Pakatan Harapan," katanya lagi

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cakap-cakap yang mengatakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah dicadangkan sebagai Perdana Menteri sekiranya kerajaan Perikatan Nasional yang kini memerintah negara tumbang.

Dalam masa sama, Khalid menegaskan, pihaknya menolak sekiranya cadangan kerajaan perpaduan ini datangnya dari kerajaan sedia ada.

Hujah beliau, kerajaan sedia ada terbukti telah gagal menguruskan negara dan ia perlu diserahkan kepada pihak lain.

"Kalau cadangan itu datang dari kerajaan sekarang ini maknanya dia nak memimpin, kalau dia nak memimpin kita minta maaf kerana mereka sudah memimpin selama setahun lebih dan kita nampak bahawa mereka tidak mampu atau tidak layak untuk memimpin sama ada Perikatan Nasional atau Barisan Nasional.

"Kedua-duanya sudah gagal, keadaan pandemik menjadi semakin teruk, keadaan ekonomi pun teruk, maka bagi kami kerajaan perpaduan yang hendak dibina mesti dipimpin oleh PH kerana kami bukan sebahagian daripada kerajaan gagal ini," katanya.

Pada Rabu, Khalid dilaporkan mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali ke pangkal jalan dengan menyerahkan kembali pemerintahan negara kepada PH yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Khalid berkata demikian setelah sokongan yang dimiliki Muhyiddin diragui ekoran terdapat 14 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap beliau.- Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!