Perjuangan Pas sudah berubah, lari dari asal - Khalid Samad

Khalid Samad
Khalid Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Perjuangan yang dibawa oleh Pas dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan telah berubah dan jauh lari dari perjuangan asal.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, tema ‘Menggempur Pemikiran Assobiyah’ yang merupakan tujuan parti telah ditinggalkan.

Jelas beliau, justifikasi yang dilakukan Abdul Hadi setelah bertemu pengasas Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membawa dasar dan pendekatan baharu apabila menjadikan bangsa sebagai tapak perjuangannya dan bukan lagi Islam.

“Katanya (Abdul Hadi), Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia, tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.

"Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa, baru ada kekuatan, kalau tidak, tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas.

“Ini bermakna, dasar dan pendekatan Islam yang syumul dan lengkap, yang dibina atas kekuatan akidah, tanpa melihat pada bangsa dan keturunan, bukan lagi menjadi pendekatan Pas sebagaimana yang dibawa dalam perjuangannya sebelum ini.

“Adakah terselit juga dalam kenyataan tersebut satu pengakuan bahawa penubuhan Pas itu sendiri adalah tersilap apabila keluar dari UMNO pada tahun lima puluhan dahulu?” soalnya dalam kenyataan pada Khamis.

Khalid turut mendakwa bahawa Abdul Hadi telah menyangkal segala asas-asas yang telah disepakati oleh pemimpin ulama terkemuka, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Nor sebelum ini.

Jelas beliau, ini kerana perjuangan yang berpaksikan akidah dan akhlak sebelum ini telah dikaitkan dengan kaum dan bangsa.

“Sedangkan ramai para sahabat Ar-Rasul bukan dari bangsa Arab dan kaum Quraisy. Ingat lagi atau tidak Hadi kepada mereka, seperti Bilal Al-Habsyi, Salman Al-Farsi, Syuib Al-Rumi sebagai contoh?

“Patutlah ada 'ulama' mereka yang memutar-belit hadis sehingga mengistiharkan Bani Taa Mim sebagai Bani Tanah Melayu! Kalau ingin mengubah hala-tuju dan asas perjuangan sekalipun, janganlah cuba ubah ajaran dan sejarah islam itu sendiri,” tegasnya.

Tambahnya, pertemuan tersebut juga berkemungkinan kerana Pas ingin mencari sumber kewangan baharu untuk membiayai parti seperti yang dikatakan netizen.

“Selepas akaun bank Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dibeku, mungkin kini Pas mencari Atok (Dr Mahathir) pula yang dananya masih banyak dalam akaunnya, tanpa mengira berapa harga yang perlu dibayar,” ujarnya.