Dasar Kerajaan Perpaduan mesti amal keseimbangan ikut al-Quran - PM

Anwar berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap dasar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan mengamalkan keseimbangan sepertimana ditekankan dalam al-Quran.

Beliau berkata, ini bagi memastikan pelaksanaan dasar secara menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat.

"Sebab itu tidak boleh langgar segala bukit bukau dirobohkan, pokok balak ditebang sesuka hati, jahanam kerana tiada equilibrium atau keseimbangan (diamalkan)... bila kerosakan berlaku, (bencana) akan selalu menimpa rakyat terutama rakyat yang lebih rendah kedudukan mereka atau miskin.

"Apabila seseorang itu diamanahkan atau dilantik (sebagai) menteri, beliau mewakili semua rakyat maknanya keluhan rakyat mesti didengar dan dasar kerajaan mesti mengambil kira perimbangan yang disebut dalam al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Nur Ramadan di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri juga berkata, pemimpin Melayu dan Islam tidak seharusnya hanya berbicara mengenai soal hidup bangsa Melayu dan berjuang menggunakan agama Islam sebaliknya perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

"Biar orang tengok ada orang Melayu yang bersih dan tidak korup, menjaga serta prihatin terhadap nasib orang yang susah dan miskin,” katanya.

Sempena Hari Nuzul Al-Quran yang disambut pada Sabtu, Anwar menyeru umat Islam supaya memanfaatkan ia dengan membaca, menghadam dan seterusnya memahami ayat-ayat dalam kitab suci itu.

Nuzul Al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan di Gua Hira, Makkah iaitu tahun ke-41 keputeraan baginda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan wang tunai RM200 kepada setiap 300 asnaf dan fakir miskin bagi Parlimen Lembah Pantai dengan jumlah keseluruhan penerima sumbangan Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun ini ialah 3,300 orang. - Bernama