Najib persoal kesahihan surat tular Azhar kepada Agong

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan timbul persoalan paling besar pada masa ini adakah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun telah menghantar surat yang tular bertarikh 9 Ogos kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, surat itu memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuma mempunyai sokongan 100 ahli Parlimen iaitu jauh daripada sokongan majoriti.

“Jika sahih (surat tular), maka Perdana Menteri Kelapan (Muhyiddin) perlu letak jawatan sekiranya mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Khamis.

Media melaporkan bahawa tular surat didakwa Azhar memaklumkan kepada Istana Negara bahawa Muhyiddin kini hanya memiliki 100 sokongan di Parlimen.

Surat kepada Istana Negara itu dikatakan sebagai menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan sokongan terhadap kerajaan, selain bagi mendapatkan status terkini bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mempersoalkan adakah Muhyiddin mempunyai majoriti yang cukup sebagai perdana menteri.

Beliau berkata, Perkara 40 (2) menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melaksanakan fungsi iaitu melantik seorang perdana menteri dan tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Katanya, sekiranya Azhar telah menghantar surat memaklumkan bahawa perdana menteri telah hilang sokongan majoriti Dewan Rakyat, Muhyiddin perlu meletak jawatan serta-merta.

Artikel Berkaitan:

“Siapa ganti? Itu ikut budi bicara dan hak kuasa Yang di-Pertuan Agong. Nak bubar atau tidak sekiranya Muhyiddin minta?

“Itu juga ikut budi bicara dan hak kuasa Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.