Golongan berumur lebih sedia terima vaksin Covid-19: Kajian

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesediaan untuk menerima vaksin Covid-19 lebih tinggi dalam kalangan golongan berumur yang lebih terdedah untuk sakit teruk akibat virus berkenaan, menurut kajian ‘Persepsi Terhadap Vaksin Covid-19’.

Kajian yang dijalankan bersama oleh Monash University Malaysia, Universiti Sunway dan Universiti Sains Malaysia itu menjelaskan bahawa 88 peratus daripada kumpulan usia 60 tahun dan ke atas lebih bersedia untuk menerima vaksinasi berbanding hanya 68 peratus bagi kumpulan umur 18 ke 30 tahun.

Ipsos Malaysia dalam kenyataan pada Khamis berkata, kajian dijalankan dalam kalangan 804 rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas dari 11 hingga 20 Jun lepas dan sampel diperoleh melalui panel dalam talian dan cenderung kepada penduduk bandar.

Selain itu, kajian menunjukkan kesediaan lebih tinggi dalam kalangan wanita dengan 88 peratus berbanding lelaki (79 peratus) sambil menambah keputusan itu mungkin disebabkan wanita lebih mementingkan kesihatan berbanding lelaki.

“Bagaimanapun, agak merisaukan apabila 21 peratus lelaki; 32 peratus kumpulan umur 18 hingga 30 tahun dan 24 peratus kumpulan berpendidikan rendah, sama ada tidak pasti atau tidak ada niat untuk mendapatkan vaksin,” kata kajian itu.

Kajian itu juga mendedahkan peratusan rendah bagi sikap positif terhadap vaksinasi dalam kalangan remaja memandangkan mereka cenderung merujuk kepada rakan sebaya yang kesediaan untuk mendapatkan vaksin adalah rendah.- Bernama

Artikel Berkaitan: