Kerajaan kaji tindakan mandatori terhadap golongan antivaksin: PM

Muhyiddin (dua dari kiri) mendengar taklimat ketika tiba di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, pada Khamis.
Muhyiddin (dua dari kiri) mendengar taklimat ketika tiba di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedang mengkaji tindakan wajar dikenakan terhadap kumpulan antivaksin yang tidak mempunyai alasan munasabah serta sengaja enggan mendapatkan suntikan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kewujudan golongan berkenaan tidak mempengaruhi usaha kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok yang disasarkan pada Oktober depan.

"Mengikut laporan dibentangkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), jika kewujudan kumpulan antivaksin ini dalam jumlah yang ramai, ia akan mempengaruhi peratusan untuk kita mencapai imuniti kelompok.

"Jadi kita mengambil langkah mengkaji dan mengenalpasti apa alasan mereka untuk tidak mengambil vaksin. Keputusan kajian berhubung tindakan sama ada dikenakan mandatori atau seumpamanya akan diputuskan pada Ogos atau September," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru individu yang layak mendapatkan suntikan vaksin untuk tidak menangguh dan segera mendapatkan suntikan.

"Saya merayu kepada mereka yang layak untuk segera mendapatkan suntikan vaksin.

"Segera dapatkan suntikan kerana berbilion manusia di seluruh dunia telah ambil vaksin bagi memastikan kehidupan lebih terjamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan vaksin bagi golongan bawah usia 16 dan 17 tahun.

"Itu masih dalam proses, kemungkinan bawah usia akan turut diberikan vaksin selepas selesai suntikan bagi kumpulan dewasa," katanya.